FGV Terlibat Dalam Projek Kawasan Pembangunan Ekonomi Khusus Indonesia

JAKARTA – Felda Global Venture Holdings Bhd (FGV) akan menerajui kepakaran untuk projek pembangunan sebuah kawasan pembangunan ekonomi khusus berkaitan industri hiliran kelapa sawit di Republik Indonesia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, perbincangan mengenainya dengan kerajaan Indonesia sudah pun bermula.

Perbincangan pertama itu lebih kepada perancangan menubuhkan sebuah pasukan bertindak untuk mengenal pasti tapak kawasan berkenaan dan membuat penilaian lanjutan, termasuk nilai pelaburan.

Katanya, Malaysia menerusi FGV akan memberi sumbangan kepakaran dalam penyelidikan dan pembangunan dan akan menubuhkan syarikat usahasama dengan Rajawali Group di Indonesia untuk mewujudkan kawasan industri khusus itu.

Beliau berkata, syarikat usahasama itu juga akan diberi tanggungjawab sebagai peneraju utama pelbagai aspek, termasuk pemasaran.

Razali Ibrahim

“Pasukan bertindak sedang mengenal pasti kawasan untuk dijadikan kawasan pembangunan ekonomi khusus itu yang dijangka menjadi realiti dalam tempoh 18 bulan lagi dan ia adalah satu-satunya kawasan seperti itu di dunia,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas mengenai projek itu di sini, Jumaat.

Difahamkan, kerajaan Indonesia akan memilih satu daripada lima tempat yang berpotensi, iaitu di Balikpapan Kalimantan, Surabaya, Papua, Jayapura dan Dumai yang mempunyai infrastruktur seperti pelabuhan dan lapangan terbang.

Razali berkata, setelah projek itu siap kelak, Indonesia, menerusi gabungan kepakaran Malaysia akan muncul sebagai hab industri kelapa sawit terbesar di dunia.

Katanya, penglibatan FGV adalah pengiktirafan kepada negara yang mempunyai kepakaran dalam industri hiliran kelapa sawit.

Malaysia dan Indonesia menguasai 85 peratus pengeluaran kelapa sawit dunia dan sebelum ini kedua-dua negara bertindak bersendirian untuk membangunkan industri berkenaan.

Sementara itu, Penasihat kepada Menteri Koodinasi Perekonomian Indonesia, Lin Che Wei berkata, sebelum ini republik itu terlalu menumpukan penghasilan kelapa sawit untuk eksport dan mengimport pula produk hiliran kelapa sawit itu.

Katanya, Indonesia berpendapat, ia tidak perlu bersaing dengan Malaysia sebaliknya berkongsi pengalaman dan kepakaran bagi mewujudkan sebuah kawasan khas yang menghasilkan pelbagai produk berasaskan kelapa sawit.

“Selama ini Indonesia lebih memberi tumpuan kepada aktiviti huluan bagi menghasilkan buahnya sahaja. Belum mengeksplorasi bidang yang jauh lebih banyak untuk kepentingan bangsa. Kita perlu berubah di mana Indonesia harus mencipta produk unggul dan membentuk sesuatu kesempatan bersama,” katanya.

Turut hadir dalam mesyuarat khas itu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohamad Emir Mavani Abdullah.

Bulan lepas FGV mengukuhkan kedudukannya sebagai satu daripada tiga syarikat perladangan terbesar dunia apabila mengambil alih dua lagi kawasan perladangan di Kalimantan, Indonesia seluas 21,037 hektar.

Pembelian itu menjadikan keluasan ladang yang diuruskannya kepada kira-kira 446,000 hektar, termasuk 77,422 hektar di Indonesia.

Di Indonesia, FGV kini memiliki 42,000 hektar ladang sawit di Kalimantan Timur dan Kalimantan Barat menerusi Trurich Resource Sdn Bhd, iaitu syarikat usahasama FGV Kalimantan Sdn Bhd dan Lembaga Tabung Haji, serta 14,385 hektar di Kalimantan Barat menerusi anak syarikatnya, PT Citra Niaga.

Pengambilalihan yang pertama melibatkan pembelian 95 peratus kepentingan dalam PT Temila Agro Abadi, yang memiliki ladang sawit seluas 8,193 hektar di Kalimantan Barat pada harga RM25.695 juta. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.