PABM2015: Gadis Rusia Jatuh Hati Dengan Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR – Keinginannya untuk mendalami masyarakat Asia Tenggara mendorong gadis kelahiran Moscow, Rusia, Polina Matveycheva, 23, mengikuti kelas pengajian bahasa Melayu sewaktu menuntut di Universiti Pengajian Timur Terraban, Moscow kira-kira tiga tahun lalu.

Bertitik tolak dari situ, bekas naib johan kategori antarabangsa Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2012 tidak menyangka dia mula mencintai keindahan Bahasa Melayu sehingga mengubah destinasi kehidupannya pada hari ini dan terus tinggal di Malaysia.

“Saya masih ingat lagi pada hari pertama, mula-mula mempelajari Bahasa Melayu di universiti ketika usia 20 tahun ketika itu, saya seperti sudah jatuh dan tertarik dengan keindahan bahasa itu, ia juga sangat mudah difahami.

“Saya amat sukakan masyarakat Asia Tenggara, persekitaran dan cuacanya amat sesuai dengan saya dan dengan kemahiran menguasai Bahasa Melayu memudahkan saya untuk terus tinggal di Malaysia dan mungkin suatu hari nanti, bertemu jodoh juga dengan orang Malaysia,’’ katanya ketika ditemui Helo Kampus di pejabat Utusan Malaysia baru-baru ini.

pabm3

Polina tidak mengambil masa lama untuk mengambil keputusan menetap di Malaysia kerana sebaik sahaja selesai menyertai pertandingan PABM, gadis itu menerima tawaran kerja sebagai pegawai akhbar di Kedutaan Rusia di Malaysia dan kini menetap di Ampang, Selangor selama dua tahun setengah.

“Setelah jatuh cinta dengan bahasa Melayu, minat yang mendalam dalam bahasa ini saya praktikkan dengan menyertai PABM dan nampaknya selepas menyertai pertandingan itu, saya menerima banyak tawaran pekerjaan di Malaysia, seperti Malaysia menyambut kembali pelawaan cinta saya dan akhirnya saya terus berada di negara ini,’’ katanya.

Katanya, pada pertandingan PABM 2012, dia memilih tajuk Malaysia sebagai destinasi impian pelancong asing kerana ia bertepatan dengan keinginan yang mengunung dirinya untuk tinggal di Malaysia terutama di Kuala Lumpur selepas tertarik dengan kehidupan masyarakat berbilang kaum negara ini selain keunikan budaya masyarakatnya.

Polina juga akan kembali semula pada PABM 2015 tetapi bukan sebagai peserta sebaliknya sebagai salah seorang juri pertandingan itu dan dia menasihatkan para peserta agar tidak terlalu bimbang dengan cabaran yang bakal dihadapi sepanjang pertandingan itu serta berfikiran kreatif.

“Jangan terlalu serius untuk menang pertandingan ini kerana melalui pertandingan, sewajarnya peserta lebih seronok dan banyaklah membuat kawan kerana pelbagai manfaat boleh diperolehi melaluinya jika kita lebih seronok,’’ katanya.

Turut berkongsi pengalaman PABM lalu, finalis kategori antarabangsa 2013 dari Afghanistan, Abdul Matin Mohammad Azeem, 23, yang juga baharu mendirikan rumah tangga dengan wanita tempatan dari Pulau Pinang dan kini dalam pengajian akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Selepas berakhir PABM dan saya juga tidak menang pertandingan itu namun saya tidak terus kembali ke Herat, kampung halaman saya di Afghanistan, saya merisik-risik peluang belajar di Malaysia kerana saya agar tertarik dengan cerita pak cik yang juga pernah tinggal di Malaysia selama lima tahun.

“Bagi mencapai hasrat itu, saya perlu mendalami bahasa Melayu dan ia langsung tidak menghalang saya untuk menimba pengalaman berada di Malaysia kerana mempelajari bahasa Melayu amat mudah berbanding bahasa antarabangsa lain,’’ ujarnya.

Katanya, bagi meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Melayu, dia turut mengadakan kelas tambahan kepada pelajar antarabangsa lain di UIAM selain mendapat tunjuk ajar daripada isteri tersayang.

Sementara itu, peserta wanita negara yang memenangi kategori alam Melayu PABM 2012, Fathiah Ibrahim, 26, pula melihat pendedahan yang diterima daripada PABM lalu telah membawanya selangkah ke hadapan apabila dijadikan rujukan peserta antarabangsa termasuk dari peringkat sekolah.

“Saya turut dihubungi beberapa peserta peringkat antarabangsa yang ingin mendengar pengalaman dan mendapatkan tunjuk ajar mengenai teks perbahasan sebelum mereka menyertai pertandingan tersebut,’’ katanya. – Suara.TV

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.