Sarawak Henti Keluar Lesen Untuk Pelihara Hutan – Adenan Satem

SIBU – Langkah menghentikan pengeluaran lesen konsesi balak dan pembukaan ladang kelapa sawit komersial yang baharu di Sarawak bertujuan memelihara hutan di negeri ini daripada kemusnahan, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Selain itu, katanya, ia bertujuan mengekang kegiatan pembalakan haram dan menjaga kepentingan rakyat negeri ini.

“Saya telah buat keputusan jangan ada konsesi balak lagi, jangan beri lesen hutan lagi, cukup sudah. Habis hutan kita diambil orang. Saya mahu memelihara hutan kita sebaik mungkin.

“Kita mesti pertahan (hutan), jangan biar orang curi kayu balak kita, ia adalah kekayaan Sarawak. Sebelum ini ada pencuri melakukan penebangan haram, mereka jadikan hutan Sarawak macam nenek mereka punya. Tebang kiri, tebang kanan, curi kiri, curi kanan. Tidak ada lagi penebangan haram,” tegas beliau.

Berucap pada majlis ramah tamah Hari Raya Aidilfitri Bahagian Sibu 2015, Adenan bagaimanapun berkata pengeluaran lesen bagi pembukaan ladang sawit diusahakan Felda, Felcra, Salcra dan syarikat ladang rakyat melibatkan tanah adat pribumi (NCR) masih boleh dipertimbangkan.

Menurut Adenan, dalam tempoh setahun ini pihak berkuasa mengadakan lebih 200 serbuan ke atas kem pembalakan haram, menangkap mereka yang terlibat dan merampas kayu yang telah ditebang secara haram.

Hasil serbuan itu memperlihatkan pengurangan kegiatan pembalakan haram, katanya.

balak

Adenan, yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, berkata usaha untuk membanteras aktiviti pembalakan haram di negeri masih lagi diteruskan dan dipergiatkan dari semasa ke semasa di mana pemantauan dari udara turut dilakukan dengan menggunakan helikopter.

Menurut beliau, sebelum ini banyak kes kecurian balak di negeri ini berlaku kerana ada sekumpulan kecil pegawai hutan yang terlibat dengan rasuah dan menjadi barua syarikat kayu balak.

“Saya tidak kata semua tetapi ada sebilangan kecil yang makan suap, jadi kaki barua syarikat kayu balak. Bila kita buat serbuan, hanya ada kayu, enjin chainsaw (tetapi) orang tidak ada. Tentu ada orang beritahu Forest (pegawai penguat kuasa) datang. Sekarang mereka tidak buat lagi,” katanya.

Mengenai pembukaan ladang sawit, Adenan berkata langkah menghentikan pengeluaran lesen bagi ladang sawit komersial baharu di negeri ini berikutan terlalu banyak pertikaian melibatkan tanah antara penduduk kampung setempat dengan pihak syarikat.

Menurutnya berpuluh-puluh kes sedang dalam perbicaraan di mahkamah dan mengambil masa lama untuk selesai dan sudah tentu menjejaskan penduduk berkenaan.

Katanya penduduk kampung terpaksa membuat tuntutan di mahkamah demi mempertahankan hak kerana mereka sudah berpuluh-puluh tahun tinggal di kawasan tesebut.

Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Perumahan Negeri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan anggota Dewan Undangan Negeri N49 Nangka Dr Annuar Rapaee. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.