UMNO Pahang Tidak Halang Bahagian Jemput Muhyiddin Dan Shafie

BERA – UMNO Perhubungan Pahang tidak menghalang mana-mana bahagian parti dari negeri ini untuk menjemput Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merasmikan persidangan perwakilan mereka.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, hak jemputan itu terletak di bawah bidang kuasa ketua bahagian berkenaan dan tiada sebarang syarat dikenakan terhadap mereka dalam memilih tokoh yang dikhendaki untuk hadir.

“Kita di Pahang sangat liberal. Hanya isu tertentu yang kita perlu bincangkan sebelum membuat keputusan. Tapi kalau jemput untuk merasmikan bahagian atau seumpamanya kita tidak halang,” katanya di sini, Isnin.

KUANTAN, 10 Ogos -- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob (kanan) ketika menjawab soalan pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Symposium Of Biotechnology di Dewan Kuliah Utama Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, hari ini. Turut hadir timbalan naib Canselor Penyelidikan and Pembangunan UMP Prof Rosli Mohd Yunus. --fotoBERNAMA HAKCIPTA TERPELIHARA

Adnan yang juga Menteri Besar Pahang berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Suratan Hak Milik kepada 763 peneroka dari Felda Rentam, Felda Mengkuang, Felda Tembangau 01 dan Felda Tembangau 02 di Kompleks Rakan Muda Bera di sini.

Berdasarkan jadual awal, Muhyiddin dijemput untuk merasmikan dua persidangan perwakilan UMNO iaitu Bahagian Cameron Highlands dan UMNO Bahagian Lipis di pada 15 Ogos ini.

Manakala Mohd Shafie pula dijadualkan merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Bentong pada 22 Ogos.

Muhyiddin dan Mohd Shafie digugurkan dari senarai Kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada rombakan 28 Julai lalu.

Selain itu, Adnan juga memberitahu beliau sebenarnya menggalakkan UMNO bahagian di Pahang untuk menjemput lebih ramai pemimpin dari Majlis Tertinggi (MT) parti bagi merasmikan persidangan perwakilan mereka.

“Saya sendiri menyatakan tak perlu jemput saya kerana lebih baik beri peluang kepada anggota MT dan rakan-rakan lain,” katanya.

Adnan juga meminta orang ramai untuk memberi sokongan kepada perdana menteri yang disifatkan beliau sebagai ‘mempunyai cara tersendiri untuk mentadbir negara’.

Ini termasuklah dalam menyelesaikan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Adnan meminta rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan fitnah di laman media sosial, sebaliknya perlu menunggu sehingga siasatan selesai.

Sementara itu, mengulas mengenai pemberian geran itu, Adnan berkata, setakat ini seramai 846 peneroka telah menerima suratan hak milik, iaitu 179 peneroka di Felda Krau 1, Felda Lepar Hilir 2 (359 peneroka) dan Felda Keratong 10 (308 peneroka).

Jumlah itu menjadikan jumlah besar peneroka di Pahang yang telah menerima suratan hak milik selepas menyelesaikan bayaran kembali tanah mereka, kepada 36,875 peneroka atau 85.5 peratus daripada 43,124 peneroka. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.