Jabatan Penerangan WPKL Anjur Pertandingan Keceriaan Sempena Bulan Kebangsaan

KUALA LUMPUR – Bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan menghidupkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat, Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menganjurkan pertandingan keceriaan sepanjang bulan ini.

Sebanyak lapan kategori dipertandingkan iaitu Bangunan Kerajaan, Bangunan Swasta, Kampung (kampung tradisional, kampung baru Cina, kawasan estet, Felda); Sekolah (Menengah, Kebangsaan, Jenis Kebangsaan), Taman Perumahan, Individu (kediaman), Pintu Gerbang dan Anjung Komuniti 1Malaysia (K1M).

Jabatan Penerangan WPKL dalam satu kenyataan berkata pertandingan itu memberi fokus kepada pengibaran Jalur Gemilang di premis masing-masing, yang akan dinilai menerusi aspek kreativiti, daya tarikan dan nilai tambah.

“Pemenang bagi setiap kategori akan menerima momento, sijil dan wang tunai,” katanya.

Penyertaan dibuka sehingga 31 Ogos dan penilaian akan dibuat pada 1 hingga 7 Sept, kata kenyataan itu.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan di Jabatan Penerangan WPKL, Tingkat 7 (Barat), Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur atau muat turun dari laman web Jabatan Penerangan http://www.penerangan.gov.my. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.