Kami Siasat Dana Politik Perdana Menteri Bukan 1MDB – SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memaklumkan mereka tidak terbabit dalam siasatan akaun Peribadi Perdana Menteri sama ada menerima wang dari 1MDB dan siasatan berkaitan SRC International Sdn Bhd sahaja.

“Ramai yang beranggapan SPRM menyiasat isu 1MDB, sedangkan kami tidak terbabit langsung dengan perkara itu. 1MDB disiasat polis dan saya meminta masyarakat tidak mengaitkan SPRM dengan 1MDB,” kata Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil

SPRM dalam satu kenyataan menjelaskan hasil siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion itu juga sudah dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara.

“Tiada undang-undang khusus bagi membolehkan mana-mana pihak untuk mendedahkan pihak yang didakwa memindahkan RM2.6 bilion dalam akaun milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.”

Menurut Shamsun lagi, ketiadaan akta khusus itu juga menyebabkan tiada undang-undang yang menyatakan menjadi suatu kesalahan jika memasukkan sejumlah wang kepada ahli politik.

Katanya, SPRM sudah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan akta khusus itu sejak 2008 lagi bagi membolehkan semua ahli politik mengisytiharkan sumber kewangan yang diperoleh daripada mana-mana pihak, namun sehingga kini belum terlaksana.

“Derma kalau di bawah takrif suapan adalah satu takrif suapan di bawah Akta SPRM, cuma isu yang kita kaitkan itu adalah derma politik di mana kita tidak mempunyai undang-undang khusus.

“Disebabkan tiada undang-undang khusus itu, kita tidak perlu melaporkan siapa yang bagi dan dari mana wang itu datang. Terpulang kepada individu masing-masing sekiranya mereka mahu mendedahkan secara suka rela atau pun tidak.

“Berbanding India dan Indonesia, mereka mempunyai akta berkenaan menyebabkan semua ahli politik termasuk pembangkang perlu memaklumkan sebarang dana dan tujuan yang diperoleh daripada mana-mana pihak dalam tempoh 30 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis ‘Luncheon Talk’ dan Sambutan Aidilfitri SPRM bersama Sektor Swasta. Turut hadir, Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Abd Aziz Aban.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.