Kelantan Tempang Jumpa Felda United

KOTA BHARU – Sudahlah berdepan tekanan untuk memburu tiga mata penuh bagi men­yelamatkankan kedudukan dalam Liga Super, cabaran Kelantan bertambah sukar apabila terpaksa menentang Felda United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini tanpa beberapa tonggak akibat kecederaan dan penggantungan.

Antara pemain yang mengalami kecederaan ialah Gilmar Jose da Silva Filho, Jonathan McKain dan Zairul Fitree Ishak, manakala kapten, Mohd. Badhri Radzi, Austin Amutu, Amiridzwan Taj Tajudin serta Khairul Izuan Rosli belum cergas sepenuhnya.

Memburukkan lagi kea­daan, penyerang senior, Mohd. Norfarhan Mohamad digantung satu perlawanan selepas dilayangkan kad merah dalam pertemuan menentang Perak, Sabtu lalu.

Akibatnya, The Red Warrios terpaksa membariskan beberapa pemain muda daripada skuad Pia­la Presiden untuk menampung ketiadaan tonggak utama.

trw

“Felda United bukan calang-calang pasukan, mereka memiliki pemain yang mempunyai kemahiran individu tinggi serta mampu memanfaatkan setiap peluang terhidang.

“Saya akan gunakan segala kekuatan yang ada bagi memastikan misi mencuri mata dicapai.

“Jadi saya harap pemain yang akan diturunkan dapat memberi aksi terbaik menentang Felda United,” kata pemangku jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail.

Zahasmi berkata, dia sedikit lega apabila dapat menggunakan ­khidmat penyerang berpengalaman, Ahmad Fakri Saarani dan Norhafiz Zamani Misbah yang sudah pulih daripada kecederaan.

Sementara itu, ketua pasukan Pahang, Mohd. Razman Roslan menyeru benteng pertahanan Tok Gajah agar lebih ampuh bagi mengelak daripada mudah dibolosi penyerang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur malam ini.

Mengambil iktibar daripada perlawanan menentang Sime Darby minggu lalu apabila ke­tinggalan dua gol, Razman berharap kesilapan yang sama tidak berulang kerana ia akan menyukarkan misi untuk mengutip tiga mata penuh.

“Mungkin kami bermain de­ngan terlalu berhati-hati dan ini membolehkan pasukan lawan mencari peluang untuk menja­ringkan gol dan ia perlu dielakkan.

“Saya harap, rakan sepasukan khususnya barisan pertahanan lebih fokus dengan mengawal ketat pemain lawan yang pastinya bijak untuk menjaringkan gol.

“Apa yang pasti, ATM juga mahu menang dan kita jangan lalai kerana akan mengundang padah,” katanya di sini semalam.

Penyerang Pahang, Mohd. Fauzi Roslan berharap penge­ndali Pahang, Zainal Abidin Hassan dapat menurunkannya dalam kesebelasan utama dalam perlawanan tersebut.

Katanya, Pahang mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri yang setakat ini belum lagi tercalar dengan kekalahan.

“Kita kalah dengan ATM pada awal musim ketika beraksi di ge­langgang lawan dengan satu gol. Berdasarkan prestasi semasa, saya percaya kemenangan bukan satu yang mustahil.

“Ini peluang untuk balas dendam kerana kita mempunyai kelebihan dengan beraksi di ge­langgang sendiri selain sokongan padu penyokong,” jelasnya. – Utusan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.