Terengganu Lancar Makmal Transformasi Lonjak Ekonomi Negeri

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Terengganu hari ini melancarkan makmal transformasi bagi melonjakkan ekonominya, termasuk mencapai keluaran dalam negara kasar (KDNK) negeri sebanyak RM33 bilion menjelang 2020 berbanding RM21.57 bilion tahun lepas.

Inisiatif hasil kerjasama Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) itu adalah sebahagian program Transformasi Terengganu Baharu (TTB) bagi memacu pertumbuhan KDNK negeri kepada lapan peratus pada 2020 berbanding lima peratus tahun lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata makmal itu turut membantu meningkatkan pendapatan isi rumah kepada RM8,000 pada 2020 daripada RM4,205 pada tahun 2013.

“Makmal ini akan mengenalpasti sektor baharu pemacu ekonomi negeri serta mengurangkan kebergantungan kepada hasil petroleum dan gas yang ketika ini menyumbang 85 peratus kepada perolehan negeri,” katanya pada majlis pelancaran makmal itu di sini, Selasa.

Makmal selama enam minggu bermula semalam, melibatkan hampir 150 peserta jabatan Kerajaan Persekutuan dan negeri, anak syarikat negeri dan pihak swasta berminat melabur di Terengganu.

Lima skop kerja menjadi tumpuan iaitu pelancongan; perkilangan; minyak dan gas; bioteknologi, komunikasi, kandungan maklumat dan teknologi baharu muncul serta perusahaan kecil dan sederhana.

Mengulas transformasi ekonomi, Ahmad Razif berkata ia menumpukan usaha menangani isu sosioekonomi secara berterusan, meningkatkan pendapatan isi rumah bukan semata-mata pendapatan per kapita serta memperkasa kelompok berpendapatan sederhana.

“Ini akan diterjemahkan dengan mewujudkan peluang pekerjaan, pembinaan rumah mampu milik, program galakan keusahawanan terutama usahawan mikro dan usahawan graduan.

“Aspek pembangunan fizikal khususnya peningkatan kegiatan ekonomi dan penambahbaikan pembangunan kawasan di bandar akan turut menjadi tumpuan,” katanya.

TTB turut mengenalpasti projek ‘aquapolitan’ yang dilihat mampu mengubah landskap perikanan negeri, kata Ahmad Razif.

Ia berteraskan konsep Felda bagi membantu membangunkan komuniti nelayan Terengganu dan akan dimulakan di kawasan Seberang Takir.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Osman Muda berkata pertumbuhan Terengganu pada kadar empat hingga lima peratus sejak lima tahun kebelakangan ini adalah agak perlahan berbanding negeri lain.

Justeru, katanya, makmal itu antara usaha kerajaan negeri meningkatkan pertumbuhan ekonomi selain mengelaknya terus ketinggalan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.