Kekuatan Politik Dan Ekonomi FELDA Penting – Najib

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa kekuatan politik dan ekonomi Felda amat penting bagi membantu Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai tanah rancangan itu.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata sebanyak 54 kerusi Parlimen dan 92 DUN di seluruh negara amat bergantung kepada sokongan masyarakat Felda.

“Jika masyarakat Felda yang rata-rata merupakan penyokong tegar kerajaan, maka sebanyak 54 kawasan Parlimen dan 92 DUN akan selamat.

“Bayangkan kalau kerusi tersebut berada dalam tangan kerajaan tentu sekali Felda layak digelar sebagai “political power house” (kubu politik),” katanya ketika berucap pada majlis Salam Perantau Warga Felda 2015 di sini Khamis.

Pada majlis itu, Najib mengulangi ingatan bahawa Felda perlu berusaha untuk menjadi pusat kekuatan politik dan ekonomi demi memastikan kejayaannya pada masa akan datang.

“Kita kena ada serampang dua mata ini kalau nak mainkan peranan lebih besar sebab kekuatan kedua-dua ini ada kaitan antara satu sama lain,” jelas Najib.

pm felda 2

 

Perdana menteri berkata adalah menjadi hasrat kerajaan untuk terus melihat Felda dapat merentasi tujuan asal penubuhannya iaitu memberi tanah yang terbaik kepada rakyat yang rajin serta mempunyai semangat sebagai peneroka.

Beliau menarik perhatian apabila berkata ketika ini terdapat 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara yang memberi manfaat kepada 112,000 keluarga sekali gus menjadikan keseluruhan warga Felda kini sekitar 2 juta orang.

“Ini meletakkan warga Felda sebagai kumpulan yang bukan sahaja besar, tapi kalau digembleng dalam satu ikatan boleh beri sumbangan besar kepada pembangunan negara dan pembinaan negara bangsa,” kata Najib.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menggesa Pejabat Unit Seranta Felda agar mewujudkan pangkalan data bagi mengumpulkan semua warga Felda di Lembah Klang yang ketika ini dianggar mencecah kira-kira 50,000 orang.

“Namun, apa yang saya harapkan bukan sekadar membangunkan pangkalan data ini tetapi mewujudkan jalinan hubungan antara mereka yang ada dalam pangkalan data ini.

“Ini supaya mereka boleh memainkan peranan untuk membantu kerajaan menerangkan dasar-dasar kerajaan dan isu semasa kepada warga Felda selain menyumbang ke arah membawa negara ke hadapan,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.