Kerajaan Negeri Kenal Pasti Lokasi Pembinaan Sekolah Tahfiz Seluruh Daerah Di Perak

TAPAH – Kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa kawasan di seluruh daerah di Perak untuk membangunkan Sekolah Menengah Tahfiz (SMT) Darul Ridzuan bertaraf asrama penuh.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata sekolah menengah tahfiz itu dijangka dapat menampung kira-kira 300 pelajar bagi setiap daerah untuk menyambung pengajian di sekolah menengah agama milik kerajaan negeri itu.

“Setakat ini sekolah terbabit dibangunkan di Pulau Pangkor bagi daerah Manjung yang menelan kos RM10 juta, hampir 90 peratus siap dan dijangka mula beroperasi tahun depan.

“Selepas ini kita akan mengadakan program pecah tanah di kawasan Bagan Datoh bagi Dewan Undangan Negeri Rungkup dan juga di beberapa kawasan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan SMT Darul Ridzuan daerah Batang Padang di sini, hari ini.

Kompleks sekolah itu dibangunkan dengan kos sebanyak RM40 juta dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Sehingga kini sebanyak lima Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan yang sudah beroperasi atau menumpang sementara di bangunan kerajaan iaitu SMT Daerah Manjung di Pangkor, SMT Daerah Kuala Kangsar di Felda Lasah, SMT Daerah Kerian di Gunong Semanggol dan SMT Hulu Perak di Lenggong dan SMT Daerah Batang Padang di Sungai Lesong.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata SMT adalah tambahan kepada Sekolah Menengah Agama Negeri sedia ada yang melaksanakan program integrasi iaitu kurikulum Kementerian Pendidikan dan kurikulum Azhariah dan Tahfiz.

“Apa yang lebih membanggakan, daripada 21 pelajar Sekolah Menengah Tahfiz Daerah Batang Padang yang menumpang di kuarters kerajaan di sini, lebih 50 peratus mencapai keputusan 11A pada peperiksaan PT3 tahun lepas.

“Selebihnya pula memperoleh 10A dan 9A dan hanya seorang memperoleh 8A dan ia pencapaian yang sangat membanggakan,” katanya.

Beliau berkata pengambilan pelajar juga melalui tapisan dan daripada 5,000 permohonan untuk memasuki Sekolah Menengah Agama Negeri kelolaan JAIPk tahun lepas, hanya 500 yang diterima masuk mengikuti pengajian.

Sementara itu, mengulas mengenai demonstrasi haram di luar Bangunan Perak Darul Ridzuan semalam, Zambry berkata beliau tidak akan tunduk dengan agenda kumpulan itu.

“Jika mereka mengharapkan cara itu boleh mengugutnya, mereka telah membuat kesilapan. Benda ini bukan baru dan ia seolah-olah sudah menjadi modus operandi dan perjuangan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

“Mereka cuma harapkan perbuatan mereka diambil tindakkan, divideokan dan diviralkan supaya orang luar nampak kerajaan Perak jahat. Buat apa saya nak layan orang macam itu,” katanya.

Sebanyak 39 penternak dan petani termasuk lima aktivis ditahan semalam kerana mengadakan perhimpunan haram untuk membantah pengusiran petani di kawasan penerokaan tanah haram milik kerajaan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.