Kira-Kira 61 Hektar Tanah Simpanan KPRJ Akan Dibangun Dengan Projek Bercampur

JOHOR BAHARU – Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) akan membangunkan kira-kira 61 hektar tanah simpanannya di Johor dengan projek bercampur, dalam masa dua atau tiga akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Abd Razak Mohd Yusoff berkata kumpulan itu mempunyai sejumlah 809 hektar simpanan tanah ketika ini, yang kebanyakannya terletak dalam kawasan dan pinggir Iskandar Malaysia.

“Kita juga ada 1,000 ekar (404.6 hektar) tanah di Sedili (Kota Tinggi) tetapi itu akan dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit, manakala tanah yang akan dibangunkan untuk projek bercampur adalah di Jalan Kulai, Kota Tinggi berdekatan dengan Kolej Komuniti Yayasan Pelajaran Johor (YPJ),” katanya.

Beliau memberitahu demikian ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri KPRJ di Pusat Konvensyen Teluk Danga, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pembangunan Hartanahnya, Mohd Zafaruddin Razali dan Ketua Pentadbiran dan Sumber Manusianya, Hamidon Sarmo.

Abd Razak berkata selain di Kota Tinggi, pihaknya telah mengenal pasti beberapa tanah di kawasan lain termasuk di Johor Baharu dan Pengerang untuk dibangunkan dengan projek perumahan.

“Perancangan sedang berjalan dan kita akan mula lancar dalam suku pertama 2016. Ini termasuk rumah teres dua tingkat dan setingkat, yang berharga antara RM200,000 hingga RM300,000,” katanya.

Beliau berkata bagi kawasan Johor Baharu, sebanyak 172 unit rumah telah dirancang di Kempas dan akan dilancarkan sama ada pada awal atau hujung tahun depan, khusus untuk peneroka generasi kedua Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Di Pengerang pula, kira-kira 170 unit juga dirancang dan kini dalam proses mengemuka pelan bangunan, kata Abd Razak.

Kedua-dua projek di Kota Tinggi dan Kempas itu mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM400 juta yang dijangka dapat menambah keuntungan KPRJ, yang sebelum ini banyak bergantung kepada kontrak pelaksanaan kerja-kerja pembinaan infrastruktur seperti tempat letak kereta, rumah kedai dan jalan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.