Tiada Cap Jari Dikesan Pada Barang Yang Dirampas Dalam Ops Daulat – Saksi

KOTA KINABALU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pasukan forensik polis tidak dapat mengesan sebarang cap jari pada barang yang dirampas dalam Ops Daulat, operasi yang dilancarkan untuk membanteras kumpulan lelaki Sulu bersenjata di Lahad Datu lebih dua tahun lepas.

Ketua pasukan itu, DSP Zuraimi Zam Zam berkata mengesan dan mengambil cap jari pada barang kes adalah sebahagian daripada prosedur forensik, tetapi tiada sebarang cap jari dapat dikesan pada barang berkenaan.

“Jadi, orang saya membantu saya menandakan barang kes sebelum membungkusnya,” kata beliau.

Zuraimi, yang kini adalah Pegawai Turus D10 (Forensik) di kontinjen polis Kuala Lumpur, berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaran 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan kumpulan bersenjata itu Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

Pegawai polis itu berkata beliau mendapat arahan supaya menerima beberapa barang kes yang dijumpai satu pasukan daripada Batalion Ke-11 Pasukan Gerakan Am di Markas Taktikal VAT69 di Felda Sahabat 16 pada 13 Mac 2013.

Kata Zuraimi, barang kes berkenaan, termasuk senjata tajam, senjata api dan peluru, diserahkan kepadanya oleh pegawai risik Insp Jamirin Kintai.

Beliau berkata setelah selesai menjalankan pemeriksaan forensik, beliau menyerahkan barang kes itu kepada Insp Mohd Zunaidi Junoh, pembantu kepada ACP Mohd Shariff Abdul Wahid, ketua pegawai penyiasat dalam operasi tersebut.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas pelbagai tuduhan, termasuk menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.