Cub Prix: Haziq Kejar Kemenangan Keenam Di Kangar

KUALA LUMPUR – Muhd Haziq Muhammad Fairues berazam untuk meraih kemenangan keenam berturut-turut dalam saingan kelas Super Siri Yamaha PETRONAS pada pusingan keenam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis pada 15 dan 16 Ogos ini.

Tampil untuk musim pertama di dalam saingan peringkat kebangsaan ini, Haziq telah pun berjaya melakar lima kemenangan berturut-turut bermula di Temerloh (Pusingan 1), Batu Kawan (Pusingan 2), Muar (Pusingan 3), Terengganu (Pusingan 4) dan Melaka (Pusingan 5).

haziq1

Malah pelumba berusia 14 tahun itu turut cemerlang apabila berjaya memulakan empat daripada lima perlumbaan akhir dari petak pertama setelah mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan.

Secara keseluruhan, Haziq kini meraih 125 mata maksimum, selesa di tangga teratas dengan jurang 60 mata berbanding pelumba di tangga kedua, Muhd Shahfiq Shahrun Nizam.

“Saya sendiri tidak menyangka dapat memenangi kelima-lima perlumbaan pusingan lepas. Ia satu pencapaian menakjubkan dan di luar jangkaan kerana pelumba-pelumba lain juga sangat agresif dan pantas,” jelas Haziq.

“Selepas berhenti rehat agak panjang, saya kini berasa lebih bertenaga dan cukup bersemangat untuk memulakan musim baharu. Saya mahu mengekalkan momentum sebagaimana yang ditunjukkan sebelum ini. Saya juga telah melakukan persediaan rapi terutama dari segi kecergasan meskipun masih di dalam suasana Hari Raya Aidilfitri ketika ini,” tambahnya.

haziq2

Namun begitu, meskipun yakin untuk terus mendominasi perlumbaan, Haziq akui masih terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki terutama jika terpaksa beraksi di litar basah.

“Jika dibandingkan dengan pelumba lain, saya agak ketinggalan jika beraksi di litar basah ataupun dalam cuaca hujan. Contohnya seperti di Batu Kawan di mana saya gagal untuk merebut petak pertama kerana keadaan litar yang basah dan agak licin. Saya perlu mencari jalan untuk mengatasi kelemahan ini sebagai persediaan jika perlumbaan berlangsung dalam cuaca hujan atau litar yang licin pada baki saingan akan datang,” jelas pelumba kelahiran Selangor itu.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.