GWGF Menyokong Perlantikan Ahmad Zahid Sebagai TPM

SHAH ALAM – Gabungan Wawasan Generasi FELDA Malaysia (GWGF), sebuah badan NGO yang menggabungkan anak-anak Generasi Baru FELDA dan bersama 14 persatuan gabungan yang melibatkan keahlian lebih 500,000 ahli daripada generasi FELDA seluruh Malaysia menyokong dengan sepenuhnya keputusan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang telah melantik Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana beliau adalah seorang yang amat berpengetahuan luas dalam bidang politik dan pentadbiran negara.

Menurut Datuk Haji Abdullah Abu Bakar, Timbalan Presiden GWGF, dengan pelbagai pengalaman yang dimiliki oleh Ahmad Zahid bersama Perdana Menteri sebagai Menteri di beberapa kementerian seperti Kementerian Belia & Sukan, Kementerian Penerangan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri membuatkan Ahmad Zahid sangat layak membantu Perdana Menteri dalam menguruskan pentadbiran negara lebih cekap dan efisyen.

“Pengetahuan politik Dato Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga amat luas. Pelbagai cabaran politik telah ditempuhi oleh beliau yang membuatkan beliau matang dan diyakini boleh menangani pelbagai isu yang berlaku dalam arena politik negara,” ujarnya.

“Pelbagai jawatan yang pernah disandang dalam politik seperti Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Naib Presiden 1 UMNO ini menjadikan Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi lebih faham akan pergolakan politik dalam dan luar negara.”

“Gandingan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abd Razak dan Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ini akan lebih cepat memacu pembangunan negara ditambah dengan kelayakan beliau yang mempunyai kelayakan sebagai seorang pemegang ijazah Doktor Falsafah. Ini sudah tentu beliau faham tentang kepentingan pendidikan untuk kemajuan negara.’

“Di samping itu, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga sangat rapat dengan pelbagai peringkat masyarakat hinggalah kepada golongan belia. Beliau juga merupakan seorang aktivis gerakan belia. Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah menggangotai gerakan belia MAYC Kebangsaan dan satu ketika nama beliau pernah dicadang menjawat jawatan Presiden Gerakan Belia MAYC Kebangsaan,” tambahnya.

“GWGF berharap agar perlantikan Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri ini akan membantu kepimpinan negara untuk lebih menumpukan kepada pembangunan negara dan menjaga kebajikan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.