Bukit Aman Pantau Media Sosial Yang Menghasut Demonstrasi Jalanan

KUCHING – Polis akan memantau media sosial yang menghasut orang ramai agar mengambil bahagian dalam demonstrasi jalanan, kata pegawai kanan Bukit Aman.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Muhammad Fuad Abu Zarin menegaskan kebenaran hendaklah diperoleh daripada polis sebelum mengadakan sebarang demonstrasi.

Beliau berkata polis juga akan mengesan pihak penganjur atau pemimpin mana-mana demonstrasi haram.

“Pihak penganjur perlu berbincang dengan kami dan beritahu kami tentang rancangan mereka. Kami mahu memastikan mereka mengikut peraturan.

“Mereka tidak boleh membahayakan orang awam atau pelawat atau memusnahkan harta awam atau swasta,” katanya kepada pemberita selepas majlis Aidilfitri Pasukan Gerakan Am Briged Sarawak di kem Batu Kawa di sini, Sabtu.

social-media-image

Muhammad Fuad berkata dalam demonstrasi haram berhampiran pusat beli belah Sogo di Kuala Lumpur baru-baru ini, para peniaga di kawasan itu terpaksa mendapatkan bantuan polis untuk melindungi harta benda mereka dan premis perniagaan.

“Jika kami dimaklumkan terlebih dahulu dan permit diberikan untuk demonstrasi, kami boleh, misalnya, menasihati pelawat awam dan asing untuk menjauhkan diri dari kawasan itu.

“Kita juga boleh mengambil langkah-langkah untuk memastikan mereka yang mengambil bahagian tidak memiliki sebarang senjata berbahaya,” katanya.

Menyentuh demonstrasi besar-besaran yang dirancang oleh Bersih 4.0 di Kuala Lumpur pada 29 Ogos, beliau berkata pemimpinnya masih belum bertemu dengan pihak polis untuk berbincang.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Fuad berkata beliau akan berada di Kuching untuk menyokong pasukan polis yang akan bermain menentang Sarawak dalam perlawanan Liga Super di stadium sukan negeri malam ini.

“Pasukan kami memerlukan sokongan dalam lima baki perlawanan. Mujurlah mereka telah melepasi zon bahaya di mana kedudukannya boleh menurun,” kata Muhammad Fuad yang juga setiausaha persatuan bola sepak polis. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.