#MH370: APMM Sedia Tawar Pegawai Bantu Misi Pencarian

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersedia menghulurkan bantuan dalam fasa pencarian baki atau serpihan pesawat MH370 milik Malaysia Airlines.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish berkata bagaimanapun APMM tidak mempunyai kemampuan dari segi aset atau inventorinya untuk digerakkan ke Lautan Hindi.

“Untuk MH370 ini APMM tidak terlibat… pada fasa pertama pencarian sebelum ini pun APMM hanya terlibat dalam pencarian di kawasan perairan Malaysia sahaja.

“Kita tidak punya kemampuan dari segi aset kerana lokasinya yang jauh, kecuali menawarkan pegawai kita untuk bersama membantu dalam misi itu… itu sahaja yang kita boleh bantu,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Bagaimanapun pihaknya masih belum menerima sebarang arahan daripada pihak bertanggungjawab untuk terlibat dalam misi kali ini.

APMM sebelum ini terlibat dalam misi menyelamat dan mencari pesawat tersebut di sekitar Selat Melaka, Laut China Selatan, Selatan Thailand dan Laut Andaman.

Pada awal pagi semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa serpihan sayap yang dijumpai pada 29 Julai lepas di Pulau Reunion, sebuah pulau kecil milik Perancis, sememangnya daripada MH370, yang hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac tahun lepas.

Ini sekali gus mengesahkan bahawa pesawat Boeing 777 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang hilang pada 8 Mac tahun lepas bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal itu telah berakhir di Lautan Hindi.

Rekod penyelenggaraan oleh Penerbangan Malaysia (MAS) dan tanda pengesahan (seal) teknikal pada ‘flaperon’ yang ditemui di pulau itu adalah antara bukti yang menunjukkan komponen pesawat itu milik MH370. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.