#MH370: Tidak Mustahil Serpihan Pesawat Boleh Hanyut Jauh, Kata Pakar

KUALA LUMPUR – Selepas 17 bulan misteri kehilangan pesawat MH370, sekali lagi pesawat malang itu menjadi tajuk utama di dada-dada akhbar, portal berita dan televisyen di seluruh pelosok dunia.

Kejadian luar biasa yang dianggap misteri dalam sejarah penerbangan moden itu, akhirnya terungkai dengan penemuan serpihan sayap yang disahkan sebahagian daripada komponen pesawat milik MAS itu.

Pada 29 Julai lepas, bahagian sayap sepanjang dua meter yang dikenali sebagai flaperon itu ditemui di La Reunion, sebuah pulau kecil milik Perancis di Lautan Hindi.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa serpihan sayap itu sememangnya adalah daripada MH370, yang hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac tahun lepas.

Meskipun pengumuman itu cukup perit untuk ditelan, namun pada masa sama ia menghidupkan semula harapan masyarakat dunia terutama dalam kalangan keluarga mangsa dan pasukan penyelamat yang mengharapkan misteri yang menimpa pesawat itu akan terjawab.

Namun, menjadi persoalan kini adalah kedudukan flaperon berkenaan di satu lokasi yang jauhnya kira-kira 4,000 kilometer dari lokasi pencarian asal? Ada yang mendakwa, mustahil serpihan berkenaan boleh hanyut dengan sebegitu jauh.

Pakar Ukur Hidrografi dan Pemetaan Dasar Laut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, Prof Dr Mohd Razali Mahmud berkata adalah tidak mustahil flaperon atau serpihan kecil yang lain boleh dihanyutkan jauh berdasarkan keadaan geografi Lautan Hindi.

Beliau menjelaskan, selain sangat terpencil dan jauh dari daratan, cuaca di Lautan Hindi juga tidak menentu di mana sering berlaku angin taufan, laut bergelora dan ombaknya ganas.

Piece of wing found on La Réunion Island, is that could be flap of #MH370 ? Credit: reunion 1ere

“Dengan ombak kuat dan angin yang laju di perairan Lautan Hindi yang terbuka, adalah tidak mustahil untuk serpihan ringan bergerak sebegitu jauh.

“Maknanya, anggaran sejauh 8 kilometer sehari serpihan itu bergerak… dari segi pengiraannya, saya tidak nampak itu mustahil,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Menurut beliau, lokasi pencarian mungkin perlu dikecilkan dan beralih dari lokasi pencarian awal, dengan mengkaji petunjuk-petunjuk yang dapat membantu dalam misi pencarian kali ini.

“Kajian yang teliti perlu dilakukan agar banyak lagi serpihan lain dapat ditemui bagi membantu menjawab pelbagai teka-teki yang timbul serta memberi gambaran ‘pattern’ pesawat itu jatuh.

“Menurut ramalan, serpihan itu menghala ke Selatan Afrika, jadi saya gesa pencarian terus dilakukan termasuk di kawasan sekitar flaperon itu ditemui,” tambah Mohd Razali.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan ada serpihan bahagian pesawat yang hanyut di lokasi berasingan, tidak semestinya terkumpul di lokasi yang sama di mana flaperon itu ditemui.

“Serpihan pesawat yang kecil dan bersaiz ringan serta ‘luggage’ contohnya boleh dihanyutkan ombak dan angin… mungkin juga kerana impak dari insiden akibat terhempas menyebabkan serpihan tidak jatuh di lokasi yang sama,” katanya.

Meskipun flaperon itu ditemui jauh dari lokasi pencarian, beliau percaya penemuan itu bukan saja memberi satu bukti kukuh bahawa perjalanan MH370 berakhir di Lautan Hindi malah memberikan semangat kepada pasukan penyelamat yang selama ini tidak putus-putus menghulurkan bantuan.

Berkongsi pendapat yang sama, pakar kanan dari Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT) di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Ahmad Maulan Bardai pula menegaskan jarak penemuan flaperon itu adalah relevan jika mengambil kira tempoh kehilangan pesawat tersebut.

Katanya, pesawat malang QZ8501 Air Asia Indonesia yang terhempas di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah pada 28 Dis tahun lepas juga menyaksikan ada serpihan yang hanyut sejauh 1,000 kilometer dari lokasi nahas, hanya dalam beberapa hari sahaja.

“Kalau kita jadikan QZ8501 sebagai contoh, terdapat banyak serpihan kecil apabila pesawat itu terhempas dan dalam tempoh beberapa hari sahaja ada serpihan yang hanyut hingga ke Sulawesi.

“Itu berlaku di Laut China Selatan yang mempunyai banyak pulau… maka kalau di Lautan Hindi yang terbentang luas, lagilah tidak mustahil,” katanya.

Malah tambah beliau tidak mustahil jika terdapat serpihan kecil lain yang tersadai di pantai-pantai tetapi tidak ditemui kerana lokasinya yang terpencil.

Katanya, orang ramai juga mungkin sebelum ini tidak menyedari barangan atau ‘sampah’ yang ditemui di tepi-tepi pantai mungkin serpihan daripada sebuah kapal terbang.

“Mungkin juga ada serpihan kecil yang sudah tersadai lama di mana-mana pantai setelah dihanyutkan namun penduduk tidak sedar atau tidak syak benda yang mereka jumpa itu adalah serpihan pesawat atau barangan yang boleh membantu kes ini,” katanya.

Justeru, beliau juga berpendapat misi pencarian juga perlu dilakukan di kawasan persisiran pantai yang berdekatan dengan lokasi penemuan tersebut dengan memberikan perhatian bersungguh-sungguh.

“Yang penting dan menjadi cabaran sekarang adalah untuk memastikan titik paling tepat di mana rangka pesawat itu berada… kalau jumpa serpihan di banyak titik maka lebih mudah untuk mengesannya,” katanya.

Pesawat Boeing 777-200ER MAS itu dilaporkan hilang daripada radar pada 8 Mac tahun lepas ketika dalam penerbangan di ruang angkasa antara Malaysia dan Vietnam, 49 minit setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Beijing, China.

Pesawat itu membawa 239 orang, termasuk 12 anak kapal dan penumpang dari 14 negara dengan lebih separuh adalah warga China dan 38 rakyat Malaysia.

Pada 24 Mac, iaitu hari ke-17 operasi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi” berdasarkan analisis data satelit syarikat telekomunikasi United Kingdom, Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.