PABM: 5 Cadangan Untuk Memartabatkan Bahasa Melayu Di Era ICT – Najib

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak mencadangkan 5 perkara sebagai satu usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu di era ICT, dalam ucapan perasmian pertandingan akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2015.

Menurut Perdana Menteri, usaha untuk mengantarabangsakan Bahasa Melayu sebagai bahasa dunia memerlukan inisiatif dan perkasa yang bersepadu serta inklusif.

Sebagai contoh, beliau menyatakan bahawa para pendahulu telah memaktubkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan melalui perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, beliau mencadangkan 5 perkara sebagai ikhtiar dan usaha memartabatkan Bahasa Melayu di era ICT.

Pertama, meminta Kementerian Pendidikan Tinggi terus mengadakan perbincangan untuk menubuhkan lebih banyak kerusi pengajian Bahasa Melayu di Universiti-universiti tersohor di serata dunia.

pmnajib

Kedua, mengadakan kerjasama dengan sekolah atau institusi pengajian tinggi luar negara terutamanya dalam bidang penyelidikan dan penghantaran tenaga pengajar yang berkaitan dengan bahasa dan persuratan Melayu.

Ketiga, memperkenal dan mempromosikan Bahasa Melayu melalui penglibatan negara dalam persidangan-persidangan antarabangsa dan di institusi-institusi pengajian tinggi negara-negara yang berkenaan.

Keempat, menyarankan agar Kementerian Pengajian Tinggi, Dewan Bahasa serta syarikat-syarikat penerbitan di negara ini bekerjasama dan membekalkan bahan bacaan dan rujukan khususnya tentang tamadun Melayu serta negara Malaysia ke masyarakat antarabangsa.

Sebagai tambahan atas langkah ini, beliau juga mencadangkan agar filem, televisyen tempatan yang menonjolkan Bahasa Melayu dan budaya Malaysia dieksport ke negara luar.

Kelima, membangunkan Bahasa Melayu didalam alam siber seperti membina portal dan penerbitan elektronik khusunya mengenai kebudayaan Melayu serta Malaysia.

Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) yang kini telah memasuki tahun kesembilan penganjurannya dengan penyertaan yang meningkat, Perdana Menteri turut mencadangkan agar Alumni PABM dapat ditubuhkan melalui Kementerian Pengajian Tinggi.

Melalui Alumni PABM ini, beliau berharap agar setiap dari ahli alumni ini boleh berperanan sebagai duta kecil dalam memperkasakan Bahasa Melayu di negara masing-masing.

“Usaha-usaha tambahan wajar dilakukan seperti pemenang-pemenang ini diberikan biasiswa untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah,” ujar Najib.

“Sebagai contoh, Universiti Putra Malaysia telah menawarkan 10 biasiswa kepada peserta PABM pada tahun lalu bagi melanjutkan pengajian di Universiti berkenaan. Semoga tawaran seperti ini dapat diteruskan lagi pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang,” katanya.

Perdana Menteri memberikan jaminan bahawa ikhtiar untuk menjadikan Bahasa Melayu agar terus berkembang subur mencapai tahap supranasional serta universal akan terus dilaksanakan.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.