Pancuran Tahi Bintang Paling Panjang Kelihatan Rabu Ini – Angkasa

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia buat pertama kali berpeluang menyaksikan pancuran tahi bintang ‘meteor perseid’ selama satu jam mulai Rabu malam hingga awal pagi Khamis.

Pegawai Penyelidikan Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Mohd Redzuan Tahar berkata pancuran itu berlaku akibat serpihan debu ekor komet ‘109P/Swift-Tuttle’ memasuki atmosfera bumi pada kelajuan lebih kurang 212,500 kilometer sejam.

“Ia akan menyebabkan serpihan batuan ini terbakar dan menghasilkan jaluran tahi bintang yang panjang. Diramalkan 60 tahi bintang boleh dilihat dalam masa satu jam itu,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjelaskan kewujudan pancuran tahi bintang itu boleh berlaku di mana sahaja pada bahagian langit tanpa arah tertentu.

tahi bintang

Pancuran meteor itu telah bermula sejak 17 Julai lalu dan dijangka berakhir pada 24 Ogos ini, tambahnya.

Mohd Redzuan berkata tahun ini kebarangkalian untuk melihat meteor itu amat tinggi kerana diramal tiada cahaya bulan yang akan mengganggu langit kerana bulan hanya akan terbit pada awal pagi Selasa.

“Namun sekiranya cuaca mendung, kebarangkalian untuk melihat meteor itu agak rendah,” katanya dan menambah waktu terbaik untuk melihat pancuran meteor itu adalah antara pukul 8 malam hingga awal pagi sebelum bulan dan matahari terbit.

Pilih lokasi yang jauh dari pencemaran cahaya seperti lampu jalan atau bangunan, katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh berkongsi pengalaman mereka mengenai jumlah tahi bintang yang dilihat, keadaan cuaca dan gambar di media sosial dengan menghantar hashtag ke #PerseidMeteorShowerMY #PerseidMY.

Maklumat lanjut mengenai fenomena meteor itu boleh dilayari di laman web www.angkasa.gov.my, atau Facebook: Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) atau Twitter: ANGKASA Malaysia. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.