Strategi Dirangka Tingkatkan Pendapatan Pekebun Getah – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan merangka strategi bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil, khususnya pengusaha kebun getah, kata menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, tindakan itu dilihat perlu, memandangkan harga pasaran getah yang tidak begitu stabil, serta kejatuhan nilai ringgit yang dilihat sedikit sebanyak akan mengganggu nilai eksport komoditi itu.

“Fokus utama yang akan dilakukan adalah untuk memastikan pendapatan mereka dapat ditingkatkan kerana hari ini harga getah adalah rendah.

“Kita akan melihat cara memungkinkan tanaman serta ternakan sampingan dalam kebun getah, dan juga untuk menghasilkan produk pertanian…kita akan lihat apa tanaman sesuai untuk ditanam dalam kebun getah itu dan sudah tentulah ia mempunyai nilai di pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Menteri Bersama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di sini Jumaat.

PUTRAJAYA, 31 Julai -- Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengimbas pas perakam waktu elektronik beliau pada hari pertama bertugas sebagai Menteri di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri KKLW Datuk Alexander Nanta Linggi (dua,kanan) dan Ketua Setiausaha KKLW Datuk Seri Ibrahim Mohamad (dua,kiri). --fotoBERNAMA (2015) HAK CIPTA TERPELIHARA

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Ibrahim Muhamad, Ketua Pengarah RISDA Datuk Seri Wan Mohamad Zuki Mohamad, pegawai-pegawai kanan kementerian dan RISDA serta kakitangan.

Ismail Sabri berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang kini diterajui Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk mencari kaedah meningkatkan pendapatan pengusaha kebun getah.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata pandangan beberapa UMNO bahagian yang mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berundur daripada jawatan Timbalan Presiden parti tidak menggambarkan sentimen keseluruhan anggotanya.

Beliau berkata, ia jauh sekali menggambarkan berlakunya perpecahan dalam kalangan anggota kerana apa yang perlu menjadi keutamaan parti ialah persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Ia mungkin pandangan beberapa individu tertentu, dan juga mungkin pandangan daripada beberapa bahagian UMNO tertentu, (namun) secara keseluruhan saya tak nampak ada perpecahan dalam parti.

“Jangan lari daripada fokus utama iaitu untuk memastikan kita (UMNO) kekal sebagai parti pemerintah, menang pilihan raya, dan untuk menang pilihan raya kita sama sekali tak boleh berpecah,” katanya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri menjelaskan UMNO juga sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan peribadi anggotanya demi kebaikan parti.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai desakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Selangor Datuk Jamal Yunos yang mahu Muhyiddin berundur dari jawatan timbalan presiden parti atas alasan, ‘tidak sehaluan lagi’ dengan presiden yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.