UPSI Lancar Buku ‘Razak Sensei: Pemangkin Jalinan Malaysia Jepun’

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini melancarkan buku berjudul ‘Razak Sensei: Pemangkin Jalinan Malaysia Jepun’ yang menceritakan pengalaman Allahyarham Datuk Abdul Razak Abdul Hamid ketika peristiwa Amerika Syarikat menggugurkan bom atom di Hiroshima pada 1945.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Zakaria Kasa berkata selain pelancaran buku itu, UPSI turut menganjurkan Wacana Pemikiran Cikgu Razak sempena memperingati 70 tahun pengeboman Hiroshima yang melibatkan warga Malaysia iaitu Cikgu Razak atau dikenali sebagai Razak Sensei.

“Wacana itu berlangsung di Dewan Sultan Idris Training College (SITC), Kampus Sultan hari ini, serentak dengan majlis memperingati peristiwa berdarah itu oleh penduduk Hiroshima,” katanya pada majlis pelancaran buku ‘Razak Sensei’ di sini Khamis.

logo_UPSI_baru_1922_bulat

Beliau berkata Cikgu Razak merupakan guru kelahiran SITC pada tahun 1946 hingga 1948 yang kemudiannya menjadi guru kanan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dari tahun 1958 hingga 1960.

“Semasa berkhidmat, beliau mengajar Bahasa Melayu dan menjadi editor majalah Chendera Mata SITC di samping guru pengakap yang disegani dalam negara kerana menjawat jawatan sebagai Pesuruhjaya Pengakap bagi Persekutuan Pengakap Malaysia berpangkat ‘Akela Leader’,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Datuk Seri Utama Dr Abdul Rahman Abbas berkata pengalaman ketika menghadapi peristiwa pengeboman di Hiroshima telah banyak menyedarkan Cikgu Razak tentang keburukan peperangan yang hanya membawa kehancuran kepada pihak terbabit.

Abdul Rahman yang merupakan bekas pelajar Cikgu Razak di SITC sekitar tahun 1955, menganggap beliau seorang yang berbudi bahasa tetapi berjasa besar dalam merapatkan hubungan antara Malaysia dan Jepun.

Buku ‘Razak Sensei :Pemangkin Jalinan Malaysia Jepun’ yang dijual dengan harga RM40 (kulit lembut) dan RM50 (kulit tebal) diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.