ACT 2015 : Frenz United B Seri 1-1 Dengan PVF FA

MELAKA – Frenz United B seri 1-1 dengan PVF FA dari Vietnam dalam perlawanan kedua kumpulan B, Trofi Juara-Juara Asia 2015 (ACT 2015) di Stadium Hang Tuah di sini, malam ini.

PVF FA yang merupakan naib juara kejohanan ini pada tahun lepas, terlebih dahulu membuka jaringan menerusi rembatan Le Van Xuan pada minit ke-15 menewaskan penjaga gol Frenz United B, Adam Zairi Fitri Zaini.

Frenz United B tidak menunggu lama apabila Mohd Akhmar Haiqal Azhar menyamakan kedudukan pada minit ke-27 mudah menewaskan penjaga gol PVF FA, Doan Trong Thanh. Kedudukan kekal 1-1 selepas tamat separuh masa pertama.

Perlawanan kejohanan bawah 18 tahun itu agak rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi hujan sejak penghujung separuh masa pertama memperlahankan permainan kerana bola sering tersekat akibat air yang bertakung sehingga wisel penamat ditiup dengan jaringan kekal 1-1.

Jurulatih Frenz United B, S. Balachandran berpuas hati dengan prestasi anak buahnya berdepan skuad bimbangan Nguyen Ngoc Thanh Tram itu dan berharap dapat memperbaiki permainan pasukannya menjelang pertemuan dengan Phnom Penh Crown FC dari Kemboja pada Jumaat ini.

“Dalam 15 minit pertama kita bermain agak gugup,selepas itu bila kita sudah kawal keadaan kita bermain baik dengan hantaran pendek dan mampu kawal permainan. Saya harap dapat pasukan bermain lebih baik nanti bagi melayakkan diri ke peringkat seterusnya,” katanya.

Perlawanan pertama kumpulan B pada Rabu lepas menyaksikan Kashima Antlers mudah membelasah Phnom Penh Crown FC dengan 5-0.

Lapan pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan itu dianjurkan Frenz United FC dengan Malaysia diwakili tiga pasukan iaitu Frenz United A, Frenz United B dan Felda United.

Frenz United A dan Felda United diletakkan dalam kumpulan A bersama Chonburi FC dari Thailand dan pasukan bawah 18 tahun India.

Perlawanan pertama kumpulan A dijadualkan berlangsung pada 19 Ogos ini menemukan Felda United dengan pasukan bawah 18 tahun India di Stadium Hang Tuah di sini. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.