Bunuh Guru Al-Quran: Perintah Reman Dua Suspek Dilanjutkan

KOTA BAHARU – Perintah reman ke atas dua lelaki yang disyaki membunuh seorang wanita guru al-Quran di Jeli bulan lepas dilanjutkan masing-masing kepada 14 dan 16 Ogos bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata siasatan terperinci akan dijalankan terhadap kedua-dua suspek dan beliau tidak menolak pembunuhan itu bermotifkan cemburu.

“Daripada siasatan yang dilakukan setakat ini kita percaya kedua-dua suspek lelaki yang berusia 54 dan 52 tahun itu mempunyai perasaan terhadap mangsa yang kematian suami sejak enam tahun lalu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kota Baharu di sini Isnin.

Mazlan berkata kedua-dua suspek juga mengenali mangsa sejak sekian lama dan menetap berhampiran kediaman guru al-Quran itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas kedua-dua suspek supaya tindakan tegas dapat diambil kepada pelaku terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Suspek pertama berusia 52 tahun sebelum ini dilaporkan ditahan pada 31 Julai lalu di Kampung Batu Melintang, Jeli, selepas sehari mayat mangsa ditemui, manakala suspek kedua ditahan di sebuah kedai kopi di Kampung Kalai, Batu Melintang, Jeli, pada 2 Ogos.

Pada 31 Julai lalu, mangsa, Rudziah Shaufee, 50, dikatakan hilang sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan terlentang dan mereput di tepi Sungai Pergau, Batu Melintang. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.