Bursa Dijangka Terus Menurun Berikutan Pemangkin Lemah Minggu Depan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka terus menurun berikutan pemangkin lemah minggu depan, apabila minyak sawit mentah, emas dan minyak mentah West Texas Intermediate di bawah tekanan, di seluruh dunia.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan memberitahu Bernama semua item itu jatuh di bawah paras psikologi RM2,100 (minyak sawit mentah), US$1,100 (emas) dan US$50 (minyak mentah).

Beliau turut menjangka mata wang dan bon terus turun naik, termasuk ringgit dan nota jangka pendek.

Di pasaran tempatan, Nazri berkata empat keadaan ekonomi perlu mengurangkan sentimen itu.

Keadaan tersebut ialah, eksport Malaysia yang mengatasi jangkaan konsensus, imbangan perdagangan Malaysia yang mengatasi jangkaan dan meningkat kepada RM8.0 bilion, hasil bon negara yang kukuh dan wang secara luas atau M3 yang meningkat enam peratus tahun ke tahun.

“Jualan asing berkurangan dan perlu lebih kecil yang akan menjadi positif untuk ringgit,” katanya.

Di pasaran baru-baru ini, tumpuan adalah ketika ditutup pada Khamis, apabila bursa tempatan jatuh 30.92 mata atau 1.79 peratus kepada 1,694.64, didorong oleh penyusutan ringgit yang merosot kepada pars terendah dalam tempoh 17 tahun, disebut pada 3.9005/9035 berbanding dolar AS.

Bagi asas mingguan, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI ditutup pada 1,682.65, 40.49 mata lebih rendah berikutan aktiviti pengambilan untung.

Indeks FBM Emas turun 318.21 mata kepada 11,575.92, Indeks FBMT100 susut 301.15 mata kepada 11,268.27, FBM 70 merosot 443 mata kepada 12,406.48 dan FBM Ace berkurangan 252.24 mata kepada 6,020.14.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 251.11 mata kepada 15,218.45, Indeks Perladangan turun 184.18 mata kepada 7,227.84 dan Indeks Perindustrian berkurangan 30.48 mata kepada 3,206.43.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 7.38 bilion unit, bernilai RM7.99 bilion daripada 9.01 bilion unit bernilai RM9.36 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 4.57 bilion unit, bernilai RM7.35 bilion berbanding 5.84 bilion unit bernilai RM8.53 bilion, dicatatkan minggu lepas.

Jumlah dagangan waran mengecil kepada 1.15 bilion unit bernilai RM277 juta berbanding 1.38 bilion unit bernilai RM430.39 juta sebelum ini. Jumlah dagangan di Pasaran ACE jatuh kepada 1.64 bilion unit bernilai RM352.12 juta daripada 1.78 bilion saham bernilai RM393.28 juta pada minggu lepas. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.