DBKL Siasat Dakwaan Ambiga Berkaitan Pegawai Biadap

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyiasat berhubung laporan polis terhadap anggota penguat kuasanya yang didakwa bertindak biadap ketika menjalankan tugas.

Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk P. Gunaseelan berkata jika dakwaan terhadap pegawai berpangkat Inspektor itu benar, ia boleh mencemarkan nama baik DBKL.

“Saya amat terkejut dengan perkara ini dan ini merupakan tindakan yang agak keterlaluan bagi seorang pegawai penguat kuasa.

“Pihak DBKL akan menyiasat perkara ini, dan sekiranya pegawai itu bersalah, tindakan tegas akan diambil terhadapnya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau menerima salinan laporan polis daripada pengadu berkenaan.

Khamis lepas, pengadu berkenaan yang dikenali sebagai K. Ambiga, 49, seorang ejen insurans telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi yang mendakwa beliau telah dikasari oleh seorang pegawai penguat kuasa DBKL yang berpangkat Inspektor di Jalan Masjid India.

Ambiga mengaku telah meletakkan kenderaannya di garisan kuning di hadapan Plaza Haniffa sebelum disaman oleh pegawai terbabit.

Beliau berkata pegawai berkenaan tetap mahu menunda keretanya walaupun beliau telah berulang kali meminta maaf dan berjanji akan membayar saman, namun rayuannya tidak diendahkan.

Beliau mendakwa pegawai itu memaksa beliau keluar daripada kereta dan apabila beliau enggan berbuat demikian, pegawai terbabit bertindak menarik tangannya sehingga baju pada lengan kirinya terkoyak.

“Pegawai itu bertindak dengan duduk di atas paha saya selama 10 minit sebelum trak tunda tiba di tempat kejadian,” katanya.

Keretanya telah ditunda ke Depoh Simpanan Kenderaan Unit Trafik & Tunda DBKL di Jalan Hang Tuah. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.