Kedi Golf Didakwa Bunuh Kanak-Kanak Tujuh Tahun

KUALA LUMPUR – Seorang kedi golf didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini Isnin atas pertuduhan membunuh anak saudara teman wanitanya, minggu lepas.

Zakaria Kamarudin, 41, didakwa membunuh Mohamad Adam Haikal Dasril Abdullah, 7, di sebuah unit rumah pangsa Taman Kosas, di sini antara 10 malam, 2 Ogos sehingga 6 pagi 3 Ogos lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Mahkamah menetapkan 10 Sept depan untuk sebutan laporan forensik, patologi serta laporan lain bagi kes itu.

Zakaria tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.