Konvoi Kembara Jalur Gemilang Meriahkan Sambutan Bulan Kebangsaan Di Kelantan

JELI – Jabatan Penerangan Kelantan menganjurkan Kembara Jalur Gemilang melibatkan 58 kenderaan termasuk pacuan empat roda, kereta dan motosikal berkuasa tinggi menjelajah ke setiap daerah negeri ini.

Program yang diadakan bagi memeriahkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Bulan Kebangsaan 2015 Peringkat Negeri Kelantan itu disertai jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).

Kembara berkenaan bermula di Politeknik Jeli di sini hari ini dan akan berakhir di penempatan Orang Asli Pos Pasik, Gua Musang pada 23 Ogos.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Datuk Abdul Aziz Derashid yang mewakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed merangkap Anggota Parlimen Jeli, melepaskan konvoi kembara itu.

Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan Aziman Hasan berkata antara pengisian program di setiap lokasi persinggahan konvoi ialah mengagihkan Jalur Gemilang bagi menggalakkan orang ramai mengibarkan bendera di rumah, bangunan kerajaan dan premis perniagaan.

Beliau berkata pihaknya juga akan menyampaikan sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik termasuk mangsa banjir.

“Adalah diharapkan Kembara Jalur Gemilang ini berjaya menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur,” katanya.

Beliau berkata sambutan Bulan Kebangsaan merupakan peluang keemasan kepada seluruh rakyat untuk bermuhasabah diri dan bersatu hati bagi mewujudkan perpaduan serta bersama-sama memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Aziman berkata selain kembara, pihaknya turut menganjur beberapa lagi program untuk memeriahkan Sambutan Bulan Kebangsaan 2015 seperti Pertandingan Kecerian Bulan Kebangsaan, Pertandingan Pengisahan Kenegaraan dan Pertandingan Sketsa Rukun Negara. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.