PABM 2015: ‘Keamanan Dunia Sakitnya Di Mana’ Juarai Kategori Alam Melayu

PUTRAJAYA – Mohd Akmal Aizat Umar diumum sebagai juara pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) 2015 bagi kategori Alam Melayu.

Mohd Akmal yang merupakan penuntut jurusan teknologi maklumat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengetepikan dua lagi peserta bagi kategori sama menerusi tajuk ‘Keamanan Dunia Sakitnya di Mana’.

Sementara itu pelajar dari Mesir yang kini menuntut di UIAM, Mahmud Abdel Fattah Ibrahim Essa yang memilih tajuk ‘ASEAN Berpusat Rakyat’ diumum sebagai pemenang untuk kategori pelajar antarabangsa di Malaysia.

pabm-pm
Perdana Menteri merasmikan pertandingan akhir PABM 2015

Joshua Parfitt dari United Kingdom dinobatkan sebagai juara bagi kategori antarabangsa.

Parfitt, pelajar Universiti of London yang tampan mengenakan baju Melayu dan songket serta lengkap bertengkolok warna jingga memilih tajuk ‘Penyelesaian Sudah Ada Di Persekitaran Kita’.

Pemenang bagi setiap kategori membawa pulang Piala Pusingan Perdana Menteri, piala iringan, wang tunai USD7,000 (kira-kira RM27,000), hadiah iringan serta sijil.

Hadiah disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan pertandingan akhir itu yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini dan turut disiarkan secara langsung menerusi TV1.

PABM 2015 yang memasuki tahun kesembilan penganjurannya disertai 71 pelajar yang mengambil jurusan pengajian bahasa Melayu di institusi-institusi pengajian tinggi di seluruh dunia dan telah berlangsung sejak 4 Ogos lalu. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.