Persatuan Bekas Pegawai SPRM Sambut Baik Keputusasn Zahid

PUTRAJAYA – Persatuan Bekas Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung penangguhan siasatan polis mengenai kebocoran maklumat siasatan di media sosial.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden Persatuan Bekas Pegawai SPRM Datuk Razak Idris berkata beliau juga menyambut baik kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di Pulau Pinang malam tadi untuk menangguhkan sementara siasatan melibatkan SPRM berhubung kes kebocoran maklumat yang disiar dalam portal Sarawak Report.

“Saya amat berharap perkembangan terbaharu ini akan menjadi kenyataan demi keharmonian PDRM-SPRM serta menjaga moral pegawai-pegawai SPRM yang sedang menyiapkan siasatan mereka berkaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) khususnya dalam isu SRC International,” katanya.

Beliau juga berharap dua pegawai SPRM yang ditangkap baru-baru ini dan dilepaskan atas jaminan, dibebaskan daripada sebarang tindakan bagi membolehkan mereka terus menjalankan tugas dalam siasatan kes SRC International.

“Semua pihak menerima hakikat bahawa SPRM dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) mempunyai peranan masing-masing demi mempertahankan kepentingan negara.

“Saya mempunyai ramai rakan yang merupakan bekas pegawai SPRM dan PDRM, di mana sentiasa berkongsi maklumat mengenai isu-isu semasa,” kata Razak.

Oleh itu, katanya adalah diharapkan agar tiada pihak yang mengambil kesempatan dengan mengeruhkan keadaan atau mengenakan tekanan.

“Kita harus memberi ruang kepada pegawai-pegawai SPRM menjalankan tugas mereka dalam apa jua situasi dengan bebas dan profesional.

“Saya juga mengambil kesempatan mahu mengesyorkan agar cadangan mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Pencegahan Rasuah dilaksanakan dengan segera bagi memastikan kebebasan SPRM terus terjamin,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, ketika memberi jaminan itu berkata tindakan yang diambil PDRM ke atas pegawai SPRM adalah sekadar untuk mengambil keterangan berhubung kebocoran maklumat siasatan di media sosial.

Dalam pada itu, Razak berkata persatuan itu juga mahu keputusan menukar Pengarah Bahagian Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategi, Datuk Rohaizad Yaakob ke Jabatan Perdana Menteri ditarik balik dan dibatalkan dengan segera bagi mengelak persepsi negatif dan tidak sihat terhadap kerajaan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.