Persepsi Berbeza Unjuran Harga Minyak Sawit Akhiri POTS Filipina 2015

MANILA – Seminar dan Pameran Minyak Sawit Filipina (POTS Filipina 2015) melabuhkan tirainya hari ini dengan persepsi bercampur-campur mengenai unjuran semasa harga minyak sawit.

Di sebalik pandangan positif mengenai pemulihan harga minyak sawit dalam masa terdekat berikutan kelemahannya yang berpanjangan, ada segelintir delegasi acara itu yang masih ragu-ragu dan menganggap lebih banyak masa diperlukan berikutan berlakunya lebihan penawaran minyak makan di pasaran.

Namun, nada lebih positif dilontarkan firma penyelidikan antarabangsa iaitu Pengarah Eksekutif ISTA Mielke GmbH, Thomas Mielke yang menyifatkan biarpun harga minyak sawit menghampiri paras terendahnya, aspek pemulihan harga itu boleh berlaku seawal Oktober ini.

Lebih-lebih lagi, katanya, pengeluaran kacang soya yang juga saingan terdekat minyak sawit, mencatat peningkatan ketara sejak tiga tahun lepas dan situasi sama yang dijangka tidak akan berulang lagi tahun ini.

“Aliran penurunan (harga minyak sawit) itu tidak akan berterusan. Kita tidak tahu (secara tepat) tempoh serta sejauh mana penurunan harga berkenaan. Namun kemungkinan aliran peningkatan itu boleh berlaku seawal Oktober ini sehingga Mac tahun depan,” katanya pada acara POTS Filipina 2015 yang berlangsung selama dua hari di ibu kota Manila ini.

Bagaimanapun, nada itu tidak selari dengan pandangan syarikat dagangan minyak sayuran India seperti dinyatakan Pengarah Godrej International Ltd, Dorab Mistry.

Beliau memberi alasan penghasilan kitaran buah tandan segar yang tinggi ternyata merencatkan pengeluaran biodiesel di Indonesia manakala penurunan harga minyak mentah pula menjadi antara faktor yang menjejaskan harga komoditi berkenaan.

Dorab menyifatkan pengeluaran buah tandan segar di Malaysia dan Indonesia memasuki kitaran baharu pada Mac yang dijangka memakan masa antara enam hingga 11 bulan.

Fenomena El Nino kali ini juga tidak seteruk yang dijangka serta kekurangan langkah penggalakan biodiesel minyak sawit di Indonesia, hanya memberi tekanan terhadap usaha penambahan inventori, katanya.

Menurutnya, menjelang akhir tahun ini, stok minyak sawit Malaysia diunjur mencecah tiga juta tan berbanding dua juta tan, ketika ini.

Pengeluaran di Malaysia dan Indonesia diunjur masing-masing kira-kira 20 juta tan dan 32 juta tan tahun ini manakala pengeluaran global dijangka meningkat sebanyak 2.5 juta tan, katanya.

Bagaimanapun, kata Dorab, permintaan dari India dan China yang juga dua pengguna terbesar minyak makan dunia, diunjur pulih berikutan harga minyak makan yang lebih rendah.

Beliau berkata sebagai contoh, India akan menyaksikan peningkatan kepada dua juta tan import minyak makan bagi tempoh 2014-2015, disebabkan pengeluaran rendah kacang soya dan biji sesawi.

Ketika unjuran harga minyak sawit terus didebatkan, POTS Filipina 2015 menjadi medan kepada langkah bersungguh-sungguh Malaysia untuk mengusahakan perladangan kelapa sawit di Filipina melalui usaha sama penggiat industri minyak sawit negara dengan ahli perniagaan tempatan.

Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Lee Yeow Chor berkata, perladangan kelapa sawit Malaysia mencapai tempoh matang dengan keseluruhan kawasan tanaman 5.39 juta hektar dan perluasan di masa hadapan dijangka mencapai enam juta hektar.

Beliau berkata memandangkan Filipina juga mengalami cuaca dan tanah yang subur seperti Malaysia, negara itu boleh menjadi destinasi sesuai bagi penanam Malaysia memperluas usaha perladangan kelapa sawit mereka.

Bagaimanapun, beliau berkata penilaian lanjut mengenai ergonomik, kestabilan politik, jaminan dan pemilikan tanah perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

Lee berkata usaha Malaysia untuk membuka perladangan kelapa sawit di Mindanao sejak 20 tahun lepas menemui jalan buntu atas beberapa faktor, termasuk pemilikan tanah dan jaminan keselamatan di pulau berkenaan.

Wakil Jabatan Perdagangan dan Industri Filipina, Breilgo O Pagaran yang turut menjadi penceramah di seminar itu berkata, permintaan negaranya terhadap minyak sawit dijangka mencecah satu juta tan pada 2017 daripada 600,000 pada masa ini.

Jangkaan itu menunjukkan kepentingan minyak sawit di Filipina semakin berkembang dan industri berkenaan berpotensi besar untuk dikembang di negaranya.

Beliau berkata sementara Mindanao kekal sebagai lokasi terbaik penanaman kelapa sawit memandangkan kesesuaian tanah dan kedudukannya berhampiran khatulistiwa, apa sahaja langkah untuk menempatkan perladangan kelapa sawit perlu berdepan masalah pemilikan tanah kerana kebanyakan kawasan adalah milik suku kaum pribumi.

Mindanao, tempat kelahiran ikon tinju terkenal Manny Pacquiao, turut dikenali sebagai ‘The Land of Promise,’ namun ia menuntut usaha bersungguh-sungguh dan kecekalan sebelum memperoleh potensi yang ada di pulau kedua terbesar Filipina itu.

POTS Filipina 2015 bertema ‘Meningkatkan Keperluan Minyak dan Lemak Filipina Melalui Minyak Sawit Malaysia’ merupakan anjuran bersama MPOC dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Anjuran kali kedua di Filipina selepas 2012 itu bertujuan mewujudkan hubungan perniagaan yang berjaya dan berterusan antara penggiat industri dan pengguna berpotensi minyak sawit dari pelbagai sektor di Filipina. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.