Radioaktif Perlombongan Bauksit Tidak Pada Tahap Bahaya – Madius

KUANTAN – Tahap radioaktif disebabkan oleh aktiviti perlombongan bauksit di daerah ini tidak berada pada tahap bahaya, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Madius Tangau.

Beliau berkata sehubungan itu orang ramai tidak perlu khuatir dengan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa tahap radioaktif di kawasan yang terlibat dengan aktiviti itu berada pada paras membimbangkan.

Katanya kandungan tahap radioaktif dalam jumlah pepejal terampai yang dilaporkan oleh akhbar tersebut sebenarnya pada tahap normal dan tidak memberi risiko kepada orang awam.

“Saya sendiri turun padang untuk melihat keadaan perlombongan bauksit yang telah dilaporkan akhbar itu dan sedikit sebanyak telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat khususnya berkaitan dengan tahap radioaktif.

“Selaku kementerian yang bertanggungjawab dengan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), sebaik sahaja laporan disiarkan kami telah mengambil langkah proaktif dengan mengambil sampel untuk dianalisis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kawasan perlombongan bauksit di RTP Bukit Goh, Felda Bukit Goh dan kawasan simpanan stok bauksit di Pelabuhan Kuantan, di sini Isnin.

Katanya AELB dan Agensi Nuklear Malaysia (ANM) telahpun mengambil sampel tanah, air dan bauksit di lokasi berkenaan minggu lepas untuk dianalisis dan Jabatan Kimia pula sedang menganalisis sampel air dari sungai yang diterima daripada Jabatan Alam Sekitar Pahang.

Madius berkata semua laporan hasil analisis itu nanti akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dibentangkan di dalam kabinet.

Beliau turut menjelaskan ujian untuk mengesan tahap radioaktif akan mengambil masa sehingga sebulan.

Pada masa yang sama, beliau turut mempertikaikan hasil ujian radioaktif yang disiarkan oleh akhbar berkenaan dari segi metodologi analisis termasuk kaedah persampelan dan alatan yang diguna.

Selain itu, katanya makmal terlibat juga tidak dinyatakan sedangkan di Malaysia hanya dua makmal sahaja yang berkeupayaan menjalankan ujian berkaitan radioaktif iaitu Asia Lab Sdn Bhd dan ANM.

“Kerajaan tidak mahu apa yang telah dilaporkan jadi satu kebimbangan rakyat … sebab itu kita bercadang untuk buat satu pelan komunikasi yang lebih proaktif supaya rakyat lebih memahami berhubung radioaktif,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.