Singapura Sambut Kemerdekaan Jubli Emas

SINGAPURA – Sekalipun berlaku hujan renyai, Singapura tetap meneruskan sambutan ulang tahun kemerdekaannya yang ke-50 (SG50) pada Ahad (9 Ogos) dengan mengadakan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) paling gemilang dalam sejarahnya disertai pertunjukan terbesar bunga api.

Beribu-ribu rakyat Singapura dari semua lapisan masyarakat bersama Presiden Singapura Tony Tan Keng Yam, Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan para Menteri Kabinet, dif-dif kenamaan asing, dan pelancong membanjiri Padang – tapak bagi pelbagai detik penting dalam sejarah buat beberapa tahun lampau.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Perdana Menteri Laos Thongsing Thammavong dan Perdana Menteri New Zealand John Key adalah antara dif kenamaan yang hadir atas undangan Presiden Tan dan PM Lee.

Najib, diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

pm n sultan johor
Perdana Menteri dan Sultan Johor turut hadir di sambutan Kemerdekaan Jubli Emas Singapura

Menurut Brigadier-Jeneral Melvyn Ong, pengerusi jawatankuasa eksekutif bagi NDP 2015, Padang mempunyai tempat istimewa di hati setiap warga Singapura.

Di Padang inilah bermula segalanya – bermulanya kerajaan pemerintahan sendiri Singapura pada 1959 dan Perbarisan Hari Kebangsaan pertama pada 1966.

Serentak itu, jawatankuasa itu juga menganjurkan tapak sambutan berasingan di sekitar kawasan Marina Bay bagi membolehkan seramai mungkin rakyat Singapura turut tampil menyambut NDP 2015.

Menggunakan tema “Majulah Singapura”, NDP 2015 menjadi punca yang mengingatkan rakyat tentang perjuangan mereka pada tahun-tahun awal dan bagaimana mereka menanganinya, bersama merayakan pencapaian dan bagaimana ia menyatu padukan rakyat Singapura untuk menggapai harapan masa depan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.