SPRM Sambut Baik Penangguhan Siasatan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik kenyataan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menangguh sementara siasatan terhadap dakwaan penglibatan pegawai SPRM berhubung kes kebocoran maklumat, yang disiar dalam portal Sarawak Report.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata beliau bersetuju dengan keputusan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang diumumkan semalam untuk menangguhkan siasatan bagi mengatasi suasana tidak senang yang wujud sekarang.

“SPRM memahami tugas dan tanggungjawab PDRM dan begitu juga PDRM berkenaan dengan tugas dan tanggungjawab SPRM.

“Melihat kepada suasana sekarang, SPRM meminta kepada semua pihak agar tidak menyampai dan menyebar luas maklumat-maklumat yang tidak sahih serta andaian negatif yang boleh mengelirukan dan malah boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed telah menjalani pembedahan di sebuah hospital di ibu negara Jumaat lalu.

Pembedahan itu telah lama dijadualkan dan atas nasihat pakar perubatan, Abu Kassim telah selamat menjalani pembedahan dan beliau kini beransur pulih, kata Mustafar.

Beliau berkata Abu Kassim telah meminta semua pegawai SPRM agar terus melaksanakan tugas dengan bebas, telus dan profesional sebagaimana aspirasi suruhanjaya itu.

Berhubung kenyataan dan laporan media bahawa beberapa pihak mahu berkumpul di premis SPRM di seluruh negara bagi menzahirkan sokongan kepada suruhanjaya itu, katanya: “SPRM memohon kerjasama agar tidak meneruskan tindakan mereka.”

Beliau berkata tindakan itu dibimbangi akan mewujudkan suasana tidak selesa kepada orang ramai yang berurusan dengan jabatan kerajaan lain memandangkan sebahagian besar pejabat SPRM terletak dalam kompleks atau bangunan kerajaan persekutuan yang turut menempatkan jabatan lain.

“SPRM mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pemimpin-pemimpin kerajaan, parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan serta rakyat jelata yang telah memberikan sokongan moral secara langsung atau tidak langsung,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.