Terengganu Tidak Mahu Bergantung Kepada Wang Ihsan Minyak – MB

BESUT – Terengganu tidak lagi boleh bergantung kepada sumber ekonomi hasil minyak melalui pembayaran wang ehsan sebaliknya perlu mencari alternatif ekonomi lain dan baharu, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata sudah sampai masa untuk negeri ini memikirkan alternatif lain dalam menjana sumber ekonomi khasnya dalam sektor industri berkaitan minyak dan gas selain sektor pertanian dan pelancongan.

“Dalam keadaan harga minyak yang tidak stabil dan komoditi yang tidak stabil, kita kena perlu cari alternatif lain.

“Alternatif yang kita fokus sekarang adalah pengeluaran produk daripada hasil minyak dan gas,” katanya kepada pemberita pada majlis perjumpaan dengan penjawat awam daerah dan pemimpin masyarakat di sini Ahad.

Beliau berkata kerajaan negeri turut merancang untuk merancakkan industri maritim dengan memperbesarkan lagi Pelabuhan Kemaman dan Pangkalan Bekalan Kemaman.

Menurutnya Terengganu akan turut memberi tumpuan kepada sektor pertanian yang mendatangkan lebih banyak tambah nilai kepada produk sedia ada di samping menggerakkan sktor pelancongan seperti di pulau dan tasik.

Ahmad Razif juga mahu aspek kebersihan diambil perhatian khasnya kebersihan tandas dan kawasan awam.

Beliau kemudiannya melawat beberapa tandas awam di Kampung Raja dan Jertih. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.