263 Penduduk Felda Bukit Goh Serah Surat Mohon Lombong Bauksit

KUANTAN – Seramai 263 penduduk dan peneroka Felda Bukit Goh hari ini menghantar surat permohonan kepada kerajaan negeri bagi mendapat kelulusan melombong bauksit di tanah milik mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Masalah Bauksit Bukit Goh Datuk Dr Abd Wahid Abd Manap yang mewakili peneroka berkenaan kemudian menyerahkan surat permohonan tersebut kepada Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob selepas tamat Sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Sri Pahang di sini Selasa.

Terdahulu, Abd Wahid berkata permohonan itu dibuat bagi memastikan nasib peneroka Felda Bukit Goh terbela selepas ada antara mereka yang ditipu oleh kontraktor yang menjalankan aktiviti perlombongan bauksit di tanah milik mereka secara haram.

“Menerusi permohonan ini, pemilik tanah dan 33 kontraktor yang terlibat telah bersetuju dengan apa juga syarat yang tertakluk dalam peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri untuk aktiviti perlombongan bauksit ini.

“Ia termasuk memastikan kepentingan penduduk kampung terbela dan pencemaran alam sekitar tidak memusnahkan kawasan persekitaran lokasi perlombongan dilakukan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abd Wahid berkata setakat ini, aktiviti perlombongan bauksit di tanah milik 263 penduduk dan peneroka yang terlibat telah dihentikan serta merta dan hanya akan beroperasi semula selepas mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri.

Adnan selepas menerima permohonan itu berkata, pihaknya akan meneliti permohonan tersebut terlebih dahulu dan ia akan mengambil kira kepentingan awam serta masalah berbangkit yang akan berlaku sekiranya aktiviti perlombongan diteruskan.

“Permohonan ini tidak menjadi masalah, namun kita akan mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar serta pihak Felda terlebih dahulu sebelum meluluskan permohonan mereka,” katanya.

Sebelum ini kira-kira 200 peneroka Felda Bukit Goh dikhuatiri ditipu kontraktor selepas dijanjikan bayaran antara RM300,000 dan RM800,000 bagi setiap empat hektar tanah yang mengandungi bauksit.

Namun, daripada jumlah itu, hanya 10 peneroka sahaja yang sudah menerima bayaran manakala selebihnya masih menunggu bayaran daripada kontraktor terlibat yang kebanyakannya tidak mendapat lesen melombong bauksit daripada kerajaan negeri. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.