Budaya Fitnah Jejaskan Kestabilan Negara – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Budaya memfitnah dan berkongsi maklumat palsu kini mencapai peringkat yang menjejaskan kestabilan negara, kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata memandangkan ada pihak yang kekurangan disiplin diri, kerajaan perlu bertindak serta mengkaji semula akta dan undang-undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pindaan (terhadap akta itu) nampaknya perlu dilakukan agar SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) mempunyai mandat untuk menangani beberapa isu yang menjadi masalah.

“Ini kerana, pada akhirnya, keselamatan negara, rakyat dan kestabilan ekonomi menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah,” kata Abdul Rahman ketika berucap merasmikan acara berbasikal ‘Malaysia Ride Day 2015’ di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Selasa.

Abdul Rahman, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata di sesetengah negara maju, kawalan dikenakan terhadap media dalam bentuk tertentu.

Menurutnya kerajaan bertanggungjawab menyediakan akses secara stabil kepada rakyat selagi sesuatu maklumat yang dikongsi itu adalah berdasarkan fakta dan dilakukan secara beretika.

Sejajar dengan itu, katanya kerajaan bercadang menubuhkan pusat sehenti bagi menyemak fakta melalui Internet kerana setiap rakyat Malaysia berhak mengetahui fakta dan mendapat penjelasan tentang setiap tuduhan yang dilemparkan oleh pihak tidak bertangungjawab.

“Kita memerlukan fakta dan kepantasan untuk menyanggah…anda tidak boleh menyalahkan kerajaan (jika berlaku kelewatan dalam memberi penjelasan) kerana apabila adanya tuduhan, ia dilakukan dengan serta-merta, sedangkan respons terhadapnya perlu dibuat berasaskan fakta,” katanya.

Mengenai program berbasikal itu, Abdul Rahman berkata ia program kreatif anjuran Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan Pemuda UMNO (HELP).

Kira-kira 10,000 orang dijangka menyertai acara itu dengan berbasikal mengelilingi bandar raya ini pada waktu malam dengan memakai baju-T tertera #tolakfitnahmediasosial dan #sayasayangmalaysia pada 11 Sept. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.