Dituduh Menggoda: ‘Saya Tak Kenal Wanita Itu’ – Fizz Fairuz

KUALA LUMPUR: Fizz Fairuz menegaskan yang dia tidak mengenali atau pernah berjumpa dengan wanita yang dikenali dengan nama Fara Mendoza seperti didakwa menerusi sensasi cerita paparan skrin perbualan di aplikasi WeChat membabitkan wanita itu dengan individu menggunakan gambar serta namanya.

Fizz turut menjelaskan dia mempunyai akaun WeChat tetapi menafikan akaun terbabit miliknya.

Suami kepada Almy Nadia itu juga tidak melatah dengan isu yang disifatkan mengarut itu.

fiz2.transformed

Malah Fizz juga percaya sekalipun dia menafikan akaun WeChat itu bukan miliknya pasti ada yang akan melihat dirinya seperti cuba menipu.

“Saya memang tak ada kena mengena dan jauh sekali mengenali wanita itu. Cerita itu memang tak munasabah langsung. Cuma saya kurang pasti apa motif dia buat begitu. Zaman sekarang memang siapa sahaja boleh mewujudkan akaun aplikasi sosial palsu. Kalau nak cerita diri saya sendiri dahulu memang saya jahat dan nakal tetapi kini dengan status sekarang tak perlulah nak cuba memporak-perandakan hidup saya.

“Kalau saya nak buat jahat sudah lama saya lakukan. Tapi niat saya saya berkawan itu perkara normal. Mulut saya sendiri ramai yang orang tahu jenis cakap lepas dan jahat. Saya sudah ada isteri dan anak, tak payahlah kot nak mereka cerita sebegini.

“Saya juga tak kisah orang nak kata dan pandang apa kepada saya. Memang ada yang tak kena mengena pun cuba nak mewujudkan unsur provokasi bukan bukan apabila timbul isu sebegini.

“Tak guna juga saya berlawan dengan orang yang hanya tahu mencari salah dan menjatuhkan hukuman sesuka hati. Lantaklah nak kata apa. Saya cakap ya atau tidak pun pasti akan ada yang kata saya sebaliknya. Kalau saya buat salah, tak mungkin saya akan sewenang-wenangnya angkat panggilan telefon wartawan. Jadi memang tak ada apa yang nak saya sembunyikan,” katanya yang kini sedang melunaskan baki penggambaran filem Hantu Rumah Sakit Jiwa arahan Michael Ang di samping Syarul Ridzwan, Abam Bocey, Emma Maembong, Sharifah Sakinah, Normah Damanhuri dan Azhan Rani.

Fizz dalam perkembangan lain turut teruja kerana namanya bolos dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) kali ke-27.

Fizz bertanding atas tiket filem Dollah Superstar dan bersaing dengan Amerul Affendi, Syazwan Zulkifly, Nasir Bilal Khan dan Faizal Hussein.

Acara kemuncak anugerah itu akan berlangsung 5 September depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Dalam sejarah FFM, Fizz sebelum ini pernah dicalonkan dalam kategori Pelakon Harapan Lelaki, FFM kali ke-20 menerusi filem Orang Minyak. Tapi tuah kemenangan tidak berpihak kepadanya.

“Alhamdulillah di atas pencalonan ini. Siapa yang tak nak menang kalau dicalonkan. Semua nak menang bukan? Kalau saya menang, insya-Allah ia rezeki anak. Menang atau kalah nanti, saya reda kerana ia rezeki Tuhan. Kalau menang, saya nak bawa naik anak saya sekali ke atas pentas,” selorohnya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.