Guna Air Berhemah, Paras Empangan Sg Lebam Turun Mendadak

KOTA TINGGI – Orang ramai diminta agar menggunakan air dengan berhemah terutama bagi penduduk yang menerima bekalan air daripada loji rawatan air Sungai Lebam berikutan penurunan mendadak paras air di empangan itu.

Pegawai Daerah Kota Tinggi Mohd Noorazam Osman berkata kira-kira 30,000 penduduk di sekitar kawasan tanah rancangan Felda Air Tawar 5 hingga Pengerang bergantung kepada loji terbabit untuk mendapatkan bekalan air setiap hari.

Menurutnya, penurunan paras air tersebut telah berlaku sejak tahun lepas cuma pada waktu ini keadaan air di loji terbabit agak sedikit kritikal.

Katanya, selain faktor fenomena La Nina yang berlaku, penurunan air di loji terbabit juga disebabkan arah angin yang menolak awan menyebabkan hujan tidak berlaku di kawasan tadahan air tersebut.

“Masalah sama turut berlaku di kawasan tadahan air yang lain seperti di Mersing, Johor Baharu termasuk loji Lembaga Utiliti Awam (PUB) Singapura yang turut mengalami penurunan paras air.

“Bagaimanapun bekalan di empangan tersebut masih boleh bertahan sehingga tiga bulan dan belum ada catuan air dilakukan,” katanya yang dihubungi di sini.

Dalam pada itu, Mohd Noorazam turut meminta penduduk agar tidak panik sebaliknya berjimat cermat ketika menggunakan air selain bersama-sama berdoa dan ikhtiar melalui solat hajat memohon kepada Allah.

“Semalam kita telah menganjurkan solat hajat di loji air Sungai Lebam untuk memohon kepada Allah berikutan kawasan tadahan ini yang sejak tahun lalu tidak menerima hujan.

“Ini merupakan ikhtiar kita dengan berdoa kepada Allah melalui solat hajat yang dianjurkan bersama ketua jabatan, ketua kampung, komuniti dan pemimpin setempat di loji air terbabit,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.