Masa Operasi Pintu Masuk Malaysia, Brunei Dilanjutkan Hingga 12 Malam – Najib

BANDAR SERI BEGAWAN – Operasi di pintu masuk di sempadan Malaysia dan Brunei yang kini dibuka dari 6 pagi hingga 10 malam akan dilanjutkan sehingga 12 malam, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata perkara itu dicapai hasil persetujuan bersama antara beliau dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dalam pertemuan di sini Selasa.

“Dari segi (waktu operasi) pintu masuk sekarang, terdapat kesukaran dalam kalangan orang ramai, sama ada dari Brunei ke Malaysia atau Malaysia ke Brunei. Tempoh pembukaan di pintu masuk hanya sehingga 10 malam.

“Tuanku dan saya dah setuju untuk dilanjutkan sehingga 12 malam supaya perhubungan antara kedua-dua negara berjalan dengan lebih lancar lagi,” katanya dalam sidang media pada akhir lawatan beliau ke Brunei di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila tarikh pelanjutan waktu operasi di pintu masuk sempadan itu akan mula dikuatkuasakan.

Katanya kajian juga akan dilakukan untuk melicinkan perjalanan antara Brunei dengan Sabah dan Sarawak berikutan pasport perlu dicap banyak kali kerana terdapat banyak pintu masuk di sempadan kedua-dua negara. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.