Najib Umum Dana RM20 Juta Untuk NGO Mantapkan Program Pembangunan Bumiputera

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta kepada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) sebagai usaha untuk memantapkan lagi program pembangunan bumiputera.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata peruntukan itu akan disalurkan oleh Teraju kepada 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara yang terpilih bagi melaksanakan program berkenaan.

Beliau berkata penyediaan dana itu juga adalah pelengkap kepada usaha kerajaan bagi membantu NGO yang mempunyai kekangan kewangan untuk melaksanakan program pembangunan bumiputera.

Menurutnya selama ini pihak Teraju menerima banyak permohonan bantuan kewangan daripada NGO untuk menjalankan aktiviti pemerkasaan ekonomi bumiputera.

“Maka, sudah tiba masanya satu peruntukan disediakan kepada NGO dan dana ini secara tersusun dan telus melalui Teraju, bersesuaian dengan peranannya sebagai badan yang mengelola agenda ekonomi bumiputera,” kata beliau pada majlis penyampaian watikah pelantikan Rakan Kongsi Penyampaian Teraju kepada NGO, di sini.

NGO terbabit ialah Dewan Perniagaan Melayu (DPMM) Pusat; DPMM Putrajaya; Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem); Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama); Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) dan Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan Profesion Malaysia (Peniagawati).

NGO lain ialah Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (Usahanita); Majlis Tindakan Ekonomi Bersatu (MTEN); Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB Malaysia); Dewan Usahawan Bumiputera Negeri Sabah (DUBNS); Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazan Dusun Sabah (KCCI) serta Dewan Usahawan Bumiputera (DUBS); dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak Sarawak (DCCI).

Najib berkata semua NGO terpilih akan diberi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan akaun masing-masing bagi memudahkan pemantauan keberkesanan program yang dilaksana.

Perdana Menteri turut mengingatkan NGO terbabit bahawa bantuan itu adalah bersifat sementara.

“Kita mesti fahami daripada awal bahawa program ini ada ‘shelf-life’ (hayat simpanan) yang agak terhad, tidak boleh ada jangkaan ‘open-ended’ (terbuka) iaitu berjalan selamanya.

“Apa yang penting adalah untuk masa beberapa tahun akan datang kita gunakan dana (yang disediakan) secara maksimum untuk capai apa yang dikatakan agenda pemerkasaan bumiputera secara kolektif dan bersepadu,” kata Najib. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.