TH Sudah Sedia Kendali Penerbangan Pertama Jemaah Haji Ahad Ini

GURUN – Tabung Haji (TH) sudah bersiap sedia untuk mengendalikan penerbangan pertama jemaah haji Malaysia musim ini yang dijadual berlepas ke Tanah Suci Ahad depan (16 Ogos).

Menyatakan demikian Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, persiapan untuk penerbangan pertama itu telah pun selesai dilaksanakan di peringkat TH.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia masih menunggu keputusan kerajaan Arab Saudi berhubung rayuan bagi tambahan kuota jemaah haji negara untuk musim ini.

Menurutnya, setakat ini kuota haji negara kekal pada 22,320 (ahli) jemaah, sebagaimana tahun lepas.

“Saya tahu ramai yang membuat rayuan (untuk pergi musim ini). Tabung Haji sudah membuat pertimbangan sebaik mungkin,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa ribut di Kampung Berjaya, Jeniang hari ini.

Ditanya tentang larangan jemaah haji untuk melawat ladang unta, beliau berkata peraturan itu masih kekal sehingga kini bagi memastikan mereka tidak dijangkiti sindrom virus MERS-CoV (Middle East Respiratory Syndrom Coronavirus).

Jamil Khir yang juga Anggota Parlimen Jerai dan Datuk Dr Leong Yong Kong, Anggota Dewan Undangan Negeri Gurun menyampaikan sumbangan kepada 189 ketua rumah di dalam kawasan Parlimen Jerai yang terjejas akibat ribut Sabtu lepas. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.