Tumpas Kepada Felda United, Jurulatih Perak Direhatkan Hingga Liga Super Berakhir

IPOH – Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) hari ini membuat keputusan untuk merehatkan jurulatih Datuk M Karathu sehingga berakhir Liga Super musim ini.

Presiden PAFA Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata keputusan itu dibuat berikutan penurunan prestasi pasukan Perak, dan penolong jurulatih, Abu Bakar Fadzim akan mengambil alih sementara tempat Karathu.

“Keputusan merehatkan Karathu dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Liga semalam, apabila skuad mengalami kekalahan pada semua empat perlawanan terakhir termasuk tewas 0-2 kepada Felda United di tempat sendiri, Sabtu lepas.

Felda-United-150x1501

“Keputusan ini dicapai sebulat suara dan perkara ini sudah dimaklumkan kepada Karathu selepas mesyuarat,” katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Beliau berkata masa depan Karathu bersama pasukan Perak akan dibincangkan selepas tamat Liga Super pada 22 Ogos ini.

Sabtu lepas, skuad Bos Gaurus kalah kepada Felda United sehingga menyebabkan Perak jatuh daripada tangga ketiga kepada kedudukan kelapan Liga Super sehingga menimbulkan kemarahan penyokong.

Sementara itu, Abu Bakar mengakui beliau bakal berdepan tugas yang berat dalam usaha untuk mengembalikan semula prestasi pasukan ke tahap terbaik.

Beliau berkata pasukan Bos Gaurus kehilangan lima pemain tonggak akibat kecederaan iaitu dua penyerang import, Charles Souza Chad dan Woong Nam Kung, pemain tengah Mohammad Nasir Basharuddin dan Muhammad Ridzuan Azli serta pemain pertahanan Mohd Idris Ahmad.

“Namun ia bukan halangan untuk saya berusaha melonjakkan semula pasukan Perak dengan mengutip mata sebanyak mungkin dalam baki empat perlawanan.

“Tetapi saya akui cukup sukar kerana bakal berdepan pasukan kuat bermula dengan Terengganu esok, diikuti Pahang, Johor Darul Takzim dan terakhir menentang Selangor,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.