Warga Emas Mahu Bertemu Waris Keturunan Amin Jusoh

GEMAS – Seorang warga emas yang tinggal di Felda Pasir Besar, di sini, menyimpan hasrat untuk bertemu waris keturunan Mohamad Amin Jusoh, yang tidak pernah dikenali dan hanya mendengar perihal mereka melalui Allahyarham datuknya sahaja.

Menurut Abu Hassan Mohd, 88, hasrat untuk bersua muka dengan saudara maranya itu semakin kuat sejak lebih tiga tahun lalu dan setiap hari dia berdoa supaya hasratnya itu dimakbulkan ALLAH SWT suatu hari nanti.

Katanya, berdasarkan cerita datuknya, Mohammad Amin yang meninggal dunia pada pertengahan 1960an, Allahyarham mempunyai ibu saudara bernama Besah dan difahamkan tinggal di Dungun, Terengganu.

“Arwah datuk hanya ada dua beradik sahaja. Awal 1900, datuk merantau bersama abangnya dari Terengganu. Abangnya berkelana ke Kelantan, sementara datuk pula mengembara hingga ke Lubok China, Melaka dan bertemu jodoh dengan ibu, Piah Baghdad.

“Pada 1935, datuk ada pulang ke Terengganu dan memberitahu saya, ibu saudaranya (Bedah), ada seorang anak bernama Mohamad Salleh, yang ketika itu berusia 12 tahun,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya, di sini, baru-baru ini.

Ujar Abu Hassan, hasratnya untuk mencari waris terdekat timbul sejak dahulu lagi, namun dia tidak tahu dari mana hendak mulakan pencarian itu.

“Bila dah tua begini, keinginan makin kuat untuk bertemu saudara terdekat. Bimbang juga kalau-kalau ada saudara terdekat yang tinggal di Gemas ini, namun saya tidak tahu kerana tidak pernah mencari.

“Saya kini berharap sekiranya ada waris keturunan Mohamad Amin Jusoh yang masih hidup supaya dapat menghubungi saya sekali gus dapat merapatkan hubungan silaturahim yang sudah lama terputus,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.