Guna Media Sosial Kena Ikut Prinsip Al-Quran

KUALA LUMPUR – Pengguna media sosial khususnya masyarakat Islam perlu kembali kepada prinsip al-Quran dalam menghadapi fitnah di alam maya yang semakin berleluasa.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, masyarakat hari ini berdepan cabaran yang mana zaman maklumat di hujung jari membuatkan sumber yang dicapai terlalu banyak hinggakan tidak diketahui sama ada benar atau sebaliknya.
Sehubungan itu, jelasnya, sebagai umat Islam pengguna media sosial  perlu menyemak serta memastikan kesahihan maklumat sebelum membuat kesimpulan dan tindakan terhadap kesimpulan yang mereka dapati itu.
“Dalam konteks kini,  kita berhadapan dengan zaman, di mana kita tidak tahu sama ada maklumat yang kita dapat dari capaian dijari-jemari kita ini, itu betul atau tidak,
“Oleh itu dalam surah al- Hujarat ada dua prinsip penting yang ALLAH gariskan kepada kita sebagai umat Islam, pertama prinsip tabayyun (kita kena selidik) maklumat itu kena pastikan keabsahan dan kesahihan  maklumat, sebelum kita membuat sebarang kesimpulan terhadap, apa jugak perkara yang melanda kita maknanya itu prinsip yang pertama.
“Yang kedua dapat sahaja maklumat jangan kita sebar, kita bersangka baik terlebih dahulu, jangan kita bersangka buruk. Ini disebut sebagai husnuzon, ini disebut dalam surah yang sama dua prinsip ini penting supaya kita tidak berprasangka setiap maklumat itu,  kita kaji terlebih dahulu sebelum kita membuat keptusan dan kesimpulan sebelum tindakan dari kesimpulan tersebut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan Perpustakaan Masjid Peringkat Kebangsaan sempena sambutan Jubli Emas Masjid Negara di sini, hari ini.
Sementara itu dalam ucapannya, Asyraf Wajdi berkata, Perpustakaan Masjid seharusnya menjadi pemudah cara kepada umum untuk memberi penjelasan, memberi maklumat tepat dan menjawab isu berkaitan berdasarkan rujukan maklumat kepada masyarakat.
Beliau berkata, kemudahan prasarana ICT perlu diperkukuh di Perpustakaan Masjid  bagi membolehkan menjadi rujukan umum bukan hanya kepada jemaah masjid.
“Bahan bacaan fizikal perlu didigitalkan bagi memberi pilihan kepada pengguna perpustakaan membaca secara elektronik dan memudahkan pengguna mengakses maklumat,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.