Hukuman Lebih Berat Terhadap Kesalahan Penderaan Kanak-Kanak

KOTA KINABALU – Hukuman lebih berat terhadap kesalahan penderaaan kanak-kanak antara yang dicadangkan di bawah pindaan akta kanak-kanak yang kini sedang di peringkat akhir untuk disiapkan sebelum dibawa ke persidangan Parlimen akan datang.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata akta baharu itu bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 turut menyenaraikan beberapa fasal dan peruntukan mengenai penjagaan keselamatan kanak-kanak.

“Semua perkara berkaitan kebajikan kanak-kanak diambil kira secara holistik dan dimuatkan dalam akta baharu itu, termasuk permasalahan yang selama ini dihadapi oleh kanak-kanak dan keluarga,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Dhiya’ Aidilfitri di Wisma Wanita di sini, Selasa.

Azizah berkata akta baharu itu juga mengambil kira pandangan daripada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan, keluarga dan pihak berkaitan.

Beliau berkata kemudahan kaunseling kepada keluarga yang menghadapi masalah turut diberi perhatian di samping menambah baik perkhidmatan perlindungan kepada setiap kanak-kanak terlibat.

Sebelum ini, terdapat pihak yang berpendapat hukuman sedia ada mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, adalah tidak mencukupi.

Ini kerana hukuman dikenakan ke atas pendera dilihat tidak setimpal dengan perbuatan si pelaku yang meninggalkan kesan kekal kepada mangsa kanak-kanak dari aspek fizikal, seksual dan emosi.

Mengenai masalah pembuangan janin, Azizah berkata jika janin berkenaan dikategorikan sebagai bayi, hukuman terhadap pesalah yang melakukan pembuangan janin itu juga tertakluk dalam akta baharu itu.

Dalam perkembangan lain, Azizah turut mengalu-alukan cadangan pemasangan kerusi khas bayi di dalam kenderaan.

“Sudah tiba masa, kanak-kanak diberi tempat duduk khas dan diwajibkan (memasang kerusi khas) bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.