Seniman Karim Latif Dimasukkan HKL, Akibat Masalah Paru-paru

KUALA LUMPUR: Seniman veteran, Karim Latiff atau nama sebenar Abdul Karim Abdul Latiff, 78, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, sejak Sabtu lalu, selepas mengadu sakit dada.

Anak sulungnya, Izuddin Nizam, 43, berkata, keadaan kesihatan ayahnya kini semakin baik dan menunjukkan perkembangan positif namun masih belum dibenarkan keluar wad.

“Pada Sabtu lalu ayah mengadu sakit dada dan sukar bernafas sebelum kami membawanya ke hospital. Selepas pemeriksaan, doktor memaklumkan paru-parunya berair.

“Ayah kini sudah beransur pulih dan mula berselera menjamah makanan, cuma masih perlukan pemantauan bagi memastikan kesihatannya kembali seperti sedia kala.

“Sebenarnya ayah jarang diserang sakit yang teruk. Sejak disahkan menghidap diabetes beberapa tahun lalu, beliau mengambil berat soal pengambilan makanan,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Karim yang pernah bekerja sebagai pengalih suara di RTM sinonim dengan watak Safar di layar perak menerusi Ahmad Albab bersama Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Beliau berjinak-jinak dengan dunia seni sejak berusia lapan tahun sebagai penyanyi malah anak jati Rembau, Negeri Sembilan itu pernah menyertai pertandingan Bintang Radio pada tahun 1950-an sehingga peringkat akhir.

Demi mengejar cita-cita bergelar anak seni serba boleh, Karim berhijrah ke Studio Jalan Ampas, Singapura ketika 18 tahun dan seterusnya menjadi pelakon pembantu untuk filem di bawah produksi Allahyarham AR Tompel.

Antara drama yang dibintangi termasuk Keluarga Tompel dan Potret Pekerti manakala di layar perak beliau juga kerap bekerja dengan Merdeka Studio selain bersama P Ramlee.

Filem dibintangi seperti Sumpah Pontianak, Samseng, Selendang Delima, Mahsuri, Anak Bapak, Masam-masam Manis, Keluarga 69, Lain Jalan Ke Syurga serta Amuk Tok Nadim.

Anak seni yang sebelum ini aktif menjelajah seluruh negara untuk mengadakan persembahan bersama kumpulan Sandiwara Suria Negara itu turut menyerlah di dalam Do Re Mi, Nasib Do Re Mi, Gerimis, Lain Jalan Ka-Shorga, Dayang Suhana dan Warna-Warna Hati.

Sementara itu, Izuddin berkata, penyakit diabetes ayahnya masih terkawal dan belum sampai ke tahap perlu menjalani rawatan dialisis. Cuma faktor usia serta mempunyai masalah penglihatan membuatkan pergerakannya terbatas.

“Walaupun anak-anak sudah berkeluarga kami tetap menjenguknya. Beliau ketika ini tinggal bersama ibu. Kalau ikutkan sudah lebih 10 tahun ayah tidak lagi berlakon tetapi gembira masih ada rakan artis serta wakil persatuan bertanyakan khabar,” katanya.

Karim yang mendirikan rumah tangga dengan Che Asma Hussain dikurniakan lima cahaya mata iaitu Izmir, Nur Iznita, Izhar dan Izralfiddin selain Izuddin. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.