Zakat 4U Lebih Mesra Pengguna

KUANTAN – Hanya 72,000 daripada lebih 600,000 individu di negeri ini yang layak membayar zakat pendapatan masing-masing berbuat demikian pada tahun lalu.

Pengurus Besar Pusat Pungutan Zakat (PKZ) Pahang, Datuk Halidan Md Daud berkata, berdasarkan perangkaan yang diperoleh PKZ menganggarkan pembayar zakat harta yang layak di Pahang lebih 600,000 pembayar yang berumur lingkungan 25 hingga 55 tahun.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ada segelintir daripada pembayar zakat tersebut telah menunaikan tanggungjawab itu di kawasan lain.

Menurutnya, sehingga kini, PKZ telah mengendalikan lebih 70,000 pembayar zakat setiap tahun dengan jumlah bayaran melebihi RM100 juta dan dalam jumlah tersebut seramai 55,000 pembayar membuat bayaran melalui potongan gaji.

“PKZ mensasarkan jumlah pembayar zakat pada tahun ini meningkat ke angka 85,000 orang berikutan kemudahan secara atas talian sudah diperkenal.

“Kini pembayar zakat lebih mudah dan menjimatkan masa tanpa perlu datang ke pejabat PKZ. Mereka hanya perlu menggunakan aplikasi android yang ada di telefon pintar masing-masing untuk mengakses maklumat berkaitan dengan zakat,” katanya pada Majlis Pelancaran Zakat 4U, di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang (Muip) Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Sementara itu, Wan Abdul Wahid berkata, PKZ kini turut mendidik masyarakat menggunakan kemudahan ICT seperti membayar melalui sistem atas talian, membayar zakat melalui kad-kad debit dan juga melalui potongan gaji.

Menurutnya, aplikasi Zakat 4U yang diperkenal hasil kerjasama dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP), yang mengambil masa tiga bulan bulan untuk disiapkan.

“Melalui kemudahan ini, orang ramai boleh mengira zakat dengan mudah dan pada masa yang sama membuat semakan masing-masing sehingga ke tahun 1996.

“PKZ juga menyediakan empat aplikasi termasuklah Zakatklik, Zakat Online, E-zakatpahang dan Usahawan Berkat untuk memudahkan segala akses pembayar zakat,” katanya.

Kemudahan Zakatklik merupakan satu ruangan khas untuk pengguna membuat aduan mengenai orang-orang susah. Maklumat tersebut akan disalurkan kepada bahagian Muip untuk tindakan segera.

Manakala E-zakatpahang pula adalah satu kemudahan untuk pembayar zakat untuk mengakses rekod mereka dalam sistem zakat pada bila-bila masa dikehendaki.

Selain itu, bagi akses Usahawan Bekat pula adalah pembayar zakat yang istiqamah bersama PKZ. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.