FELDA Berjaya Mewujudkan 279 KAF Sejak Feb Lepas

KUALA NERUS – Felda berjaya mewujudkan 279 buah pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) daripada 313 buah tanah rancangannya di seluruh negara sejak 15 Feb lalu.

Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti Felda, Anuar Malek berkata KAF yang dianggotai anak peneroka yang berjaya dan berumur 40 tahun ke atas bertujuan untuk menjana semangat baharu pada jiwa mereka untuk menyayangi Felda.

“Mereka ini berjaya bermula di Felda, apabila mereka berjaya di luar sana, mereka diminta menyumbang semula untuk membantu adik-adik dan ibu bapa mereka yang dahagakan bimbingan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sambutan majlis Hari Raya Felda Wilayah Terengganu yang turut dihadiri Pengurus Besar Felda Terengganu Mohd Helmi Fakhzan Abdul Wahab di sini hari ini.

Anuar berkata penubuhan KAF di tanah rancangan Felda juga berperanan untuk membantu dan membimbing Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR), Gabungan Persatuan Wanita (GPW) dan juga pertubuhan belia dan anggotanya ke tahap yang lebih baik.

Beliau berkata Terengganu adalah satu-satunya wilayah yang menubuhkan KAF di semua 20 tanah rancangannya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.