#MH370: Perancis Gerak Misi Pencarian Di Perairan Pulau Reunion Hingga Isnin

KUALA LUMPUR – Perancis akan menggerakkan carian udara dan laut di sekitar perairan wilayah Lautan Hindi di Pulau Reunion sehingga awal minggu depan bagi mencari serpihan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang pada Mac tahun lepas.

Agence France-Presse (AFP), memetik laporan pegawai atasan di pulau itu pada Rabu berkata: “Pencarian menyeluruh akan diteruskan sehingga awal minggu depan. Pencarian setakat ini tidak menemukan sebarang elemen penting”.

Beliau berkata lokasi pencarian itu akan beralih ke pinggir kawasan pencarian awal, terutama di bahagian selatan.

Usaha pencarian terbaharu itu dilakukan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan komponen sayap pesawat berukuran dua meter panjang yang ditemui di Pulau La Reunion pada 29 Julai lalu, disahkan milik MH370 yang membawa 239 penumpang.

Saint-Andre, bandar yang dihuni 50,000 penduduk di mana komponen sayap itu ditemui di pesisir pantai, kini menjadi perhatian media dunia yang berpusu-pusu ke bandar itu sejak dua minggu lepas.

AFP berkata sejak Isnin, tempoh pencarian di daratan telah menjangkau 45 jam setengah manakala pencarian maritim dan udara memakan masa 15 jam.

Misi pencarian itu dilancarkan pada 7 Ogos dan ditangguhkan sementara berikutan cuaca buruk sebelum diteruskan semula.

Maldives menyertai usaha serantau itu bagi mencari serpihan pesawat MAS yang hilang itu, berikutan ada laporan penduduk di kepulauan Lautan Hindi berkenaan menemukan serpihan yang tidak dikenal pasti, menurut AFP. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.