#MH370: Serpihan Di Maldives Mungkin Dibawa Balik Ke Malaysia

SHAH ALAM: Serpihan yang ditemui dekat Maldives mungkin akan dibawa balik ke Malaysia untuk disiasat dan disahkan berhubung kaitannya dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, serpihan itu akan dibawa balik sekiranya terdapat keperluan untuk pengesahan lanjut mengenai asalnya.

Beliau berkata, pasukan Malaysia sudah berada di Maldives dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengesahkan serpihan itu.

“Pasukan kita sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa di Maldives untuk mengesahkan sekiranya serpihan itu adalah milik Boeing 777.

“Kemudian kita akan melakukan proses pengesahan lanjut dan akan membawa serpihan itu ke Malaysia sekiranya terdapat keperluan untuk berbuat demikian,” kata Liow pada sidang media di sini, Rabu.

“Tunggu butiran mengenai pengesahan dan analisis yang dijalankan oleh pakar-pakar,” katanya.

Beliau menambah, pasukan Malaysia turut dihantar ke Pulau Reunion di mana lokasi serpihan ‘flaperon’ milik pesawat MH370 dijumpai. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.